Khamis, 7 Mac 2019

Pemimpin PH diingat tidak letus api kaum

MOHAMMAD ARIFIRIAZUL PAIJO

AMARAN dilaungkan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng bahawa kerjasama PAS - Umno merupakan ancaman yang dikatakan sebagai perang kepada rakyat bukan Islam adalah bersifat hasutan. Ia boleh mengundang gugatan terhadap ketenteraman awam dan sama sekali tidak sepatutnya dikeluarkan oleh individu berstatus Menteri Persekutuan.
 
Pimpinan Kerajaan Malaysia yang juga pimpinan parti politik pemerintah dari PH mutakhir ini dilihat cenderung mengeluarkan kenyataan yang boleh meletuskan sentimen perkauman. Malah, ia juga dilihat membesarkan lagi prasangka dan jurang perkauman yang telah sedia wujud. Malangnya, api itu dimarakkan pihak yang memegang teraju pemerintahan.
 
Sikap tidak cermat mengeluarkan kenyataan sedemikian boleh jadi dirancang atau mengarah kepada motif tertentu yang tidak baik. Bahkan sangat mungkin ianya kelaziman memandangkan sekian lama menjadi pembangkang sebelum ini. Namun, ia menyerlahkan perkara diperjuang atau didoktrinkan oleh mereka untuk dijelmakan ke atas rakyat negara ini.
 
Sedangkan selaku kerajaan mereka lebih menumpukan usaha mengukuhkan rakyat Malaysia yang berdiri dari latar belakang pelbagai agama dan bangsa ini. Juga mesti segera menumpu perkara-perkara pokok pentadbiran negara khususnya reformasi sistem kerajaan serta janji-janji. Semua ini perkara diperjuangkan dan dimanifestokan PH sendiri.
 
Kerajaan juga sewajibnya menjadi penenang kepada rakyat, bahkan perlu berdiri sama serta sentiasa mengingati bahawa negara berakyat majmuk ini telah disatu kuatkan oleh kontrak sosial yang jelas. Ia harus kekal menjadi pegangan dihormati serta panduan ke arah membina Malaysia yang lebih maju dengan perpaduan rakyat semakin teguh.
 
Realitinya, Malaysia Baharu di bawah teraju PH masih kabur, selain terus mengancam perpaduan rakyatnya dengan sentimen-sentimen kaum yang galak dimainkan para politikus PH. Keadaan ini boleh meletakkan negara kepada situasi kritikal jika ia tidak dibendung. Ketika itu, pihak kerajaan memerintahlah harus dipersalahkan atasnya.
 
Oleh demikian, kami menggesa satu tindakan tegas perlu diambil pihak kerajaan terhadap Menteri terbabit serta sebarang kenyataan berunsur hasutan dan ancaman ke atas rakyat dan negara oleh sesiapa sahaja. Ia penting agar integriti pemerintahan melibatkan pemisahan kuasa Eksekutif dan Kehakiman benar-benar diterjemahkan.
 
Kami menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk sama-sama menghormati segala terma yang telah termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan dan memperbanyakkan usaha ke arah memupuk perpaduan serta integrasi nasional. Semoga dengan usaha kecil mampu dilakukan kita akan memastikan Malaysia terus mara dengan penuh semangat setia dan keharmonian hidup rakyatnya.
 
"Islam Memimpin" -"Terus Mara" 
 
*MOHAMMAD ARIFIRIAZUL PAIJO- Pengerusi Lajnah Perpaduan NasionalDewan Pemuda PAS Malaysia - HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: