Jumaat, 8 Mac 2019

Pemandu Che Ta dapat gaji, dapat saman

MALAYSIAKINI

   

Selain sudah melunaskan gaji untuk pemandunya, pelakon Rozita Che Wan kini nekad mengambil tindakan undang-undang pula ke atas lelaki terbabit.

Rozita berkata, tindakan Muhammad Riduan itu mencemarkan imejnya, selain mendakwa pemandu berusia 21 tahun itu sengaja mengada-adakan cerita tidak sahih.

“Bayar tetap bayar. Gaji dia sudah dibayar penuh seperti biasa berjumlah RM2,000 hari ini.

“Tapi dengan apa yang dia (Muhammad Riduan) sudah lakukan kepada saya dengan mengadakan cerita tak benar sekali gus jatuh fitnah dan memalukan, kami akan mengambil tindakan tegas," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Rozita pihaknya juga sudah berhubung dengan peguam untuk meneliti tindakan mahkamah yang akan diambil.

Katanya antara langkah yang sedang dipertimbangkan ialah mengemukakan saman malu selain menuntut pemandu terbabit membuat permohonan maaf secara terbuka.

Rozita atau lebih dikenali sebagai Che Ta berkata demikian sebagai mengulas isu pemandu peribadinya mendakwa tidak dibayar gaji dan teraniaya. 

Ia menjadi kecoh sejak semalam selepas Muhammad Riduan menularkan cerita berkenaan di laman sosial.

Kerja 16 hari saja
 
Che Ta berkata lagi, dia tidak pernah tidak membayar gaji pekerja-pekerjanya.

“Gaji dia bulan pertama dibayar seperti biasa. Cuma untuk bulan Februari saya terlambat bayar kerana tidak masuk ke pejabat untuk menguruskan hal kerja termasuk pembayaran gaji.

“Kebiasaannya saya akan bayar gaji setiap hujung bulan atau selewat-lewatnya sebelum masuk tarikh ketujuh bulan seterusnya. Itu standard biasa.

“Bulan Februari saya banyak urusan kerja luar dan tak dapat masuk ke pejabat,” katanya.

Menurut pelakon drama Kiah Pekasam itu, dia sememangnya bersedia untuk membayar gaji Muhammad Riduan semalam apabila masuk ke pejabat.

Bagaimanapun, dia mendapati bekas pemandunya itu telah menularkan isu tersebut.

“Tiba-tiba dia buat hal tularkan perkara ini. Saya asalnya nak nak bayar dan dia juga sudah bersetuju dengan jumlah gaji yang akan dibayar,” katanya.
Menurut Che Ta, pada Februari saja lelaki itu bercuti selama 12 hari.

“Dia hanya bekerja 16 hari saja. Tapi saya masih nak bayar gaji penuh kepadanya iaitu sebanyak RM2,000.

“Tapi Zain (suami Che Ta) sendiri cakap dengan jumlah kerjanya pada bulan Februari, patut dibayar RM1,000 saja. Namun selepas dipertimbangkan, saya nak bayar kepadanya RM1500.

“Dia cakap tak mahu kerja dengan saya lagi dan tarikh akhir bekerja pada 23 Februari," katanya.

Pernah terlelap semasa memandu
 
Che Ta, 45, turut menegaskan yang lelaki itu juga menunjukkan prestasi kerja yang hambar.

Selama ini, Che Ta mengakui tidak pernah berdepan masalah dengan pemandu peribadinya.

“Ingat lagi masa awal dia ditemu bual untuk menjadi pemandu peribadi, siap cakap... kalau tak bagus khidmatnya, sanggup tak dibayar gaji.

“Banyak kesalahan dan sikapnya yang melanggar etika. Tapi tidaklah sampai saya terfikir nak merakamkan atau mengambil gambar sebagai bukti.

“Kalau ada semua bukti sebegitu, saya rasa baru dia tahu langit ini tinggi atau rendah. Tak terdetik langsung nak buka aib dia ,” katanya.

Che Ta secara peribadi menyifatkan lelaki itu seorang yang baik, namun masih terlalu muda dan belum cukup matang.

“Dia pernah terlelap waktu tidur ketika kami dalam perjalanan ke Johor. Saya minta dia berhenti memandu dan membasuh mukanya.

"Dia harus fikir dengan sikapnya itu, nyawa orang lain boleh tergadai,” katanya.


Tiada ulasan: