Oleh Athirah Huda Zalhe
Melayu sekarang tidak lagi merdeka dalam memilih cara pemerintahan dan tidak bebas menentukan masa depan sendiri
PUTRAJAYA
– Mana-mana parti atau gerakan Islam tidak boleh bertahaluf dengan
orang kafir dalam keadaan orang bukan Islam lebih dominan dalam pakatan
itu, kata Amir Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Ustaz Abdullah Zaik Abd
Rahman.
Beliau
berkata, ini kerana tahaluf berkenaan akan membawa orang kafir berkuasa
ke atas orang Islam yang jelas bercanggah dengan nas yang nyata.
“Mahu tidak mahu segalanya telah berlaku, fitnah dan kerosakan yang besar.
“Umat
Islam dan orang Melayu di negara ini memerlukan keazaman yang tinggi dan
gagasan yang besar untuk mengangkat masyruk siasi Islami (agenda
politik Islam) dan mempromosi wacana politik berteraskan agama dan
kepentingan umat,” katanya.
Beliau
berkata demikian ketika menyampaikan Ucapan Dasar Amir sempena Mesyuarat
Agung Isma Ke-16, yang berlangsung di Hotel Everly, di sini hari ini.
Mengulas
lanjut, Abdullah Zaik berkata, Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) telah
membawa perubahan besar kepada landskap politik, kerana hakikatnya ia
mengakhiri pemerintahan Melayu dan Islam di negara ini.
“Apa yang
berlaku ialah pemerintahan yang didominasi oleh kaum lain atau boleh
saya katakan pemerintahan ‘DAP by proxy’. Segala indikator menunjukkan
bahawa negara menjurus kepada pemerintahan berasaskan kaum.
“Ada
negeri akan diperintah oleh kaum Cina, ada negeri diperintah oleh Melayu
(UMNO atau PAS) dan ada negeri diperintah oleh Cina melalui proksi,”
katanya.
Atas rasa
tanggungjawab, beliau mencadangkan supaya gagasan politik membentuk
integrasi nasional melalui pendidikan satu aliran, selain membentuk
semula rancangan pembangunan Malaysia berasaskan imbangan ekonomi yang
adil.
“Saya juga
mencadangkan supaya kita merangka konsep tadbir urus negara ala
Malaysia berkonsepkan siyasah Syariyyah mengikut prinsip Maqasid
Syariah.
“Mengamalkan
pentadbiran berasaskan undang-undang ‘rule of law’, memartabatkan
bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, perdagangan, teknologi, perundangan
dan perpaduan serta menjamin kebebasan beragama dan adat resam bangsa
lain berlandaskan Perlembagaan,” katanya.
Sementara
itu, beliau meluahkan rasa terkilan terhadap nasib orang Melayu hari
ini, yang disifatkan tidak lagi merdeka dalam memilih cara pemerintahan
mereka, dan tidak bebas menentukan masa depan sendiri.
Lebih
menyedihkan, beliau berkata, bangsanya itu kini menjadi ‘bangsat’
mengemis secebis kehidupan tanpa menghiraukan lagi identiti, maruah dan
masa depan bangsa Melayu.
Beliau
berkata, semua itu berpunca daripada kesilapan mengadapatasi fahaman
sosialis liberal dalam pemerintahan negara, selain mendukung dasar
pro-kapitalis dan menolak Islam dalam pembinaan sistem serta landasan
pembangunan peradaban negara.
Bagaimanapun
katanya, beliau melihat ancaman keruntuhan Islam dan bangsa Melayu yang
berlaku hari ini, bukanlah baru bermula selepas 9 Mei lalu.
Sebaliknya,
mengakui ia adalah akibat daripada kecelaruan pendirian dan kesalahan
dasar yang berlaku sejak awal kemerdekaan negara lagi.
“Oleh itu,
Isma tidak menghadkan pandangan politik dan agenda islahnya dalam
lingkungan percaturan politik semasa semata-mata. Perkara sebenar harus
diperkatakan tanpa bermuka-muka.
“Kita
bercakap tentang bahaya DAP, evangelist, sekularis, liberalis, perang
proksi Amerika, China dan sebagainya, tetapi kita sedar bahawa
kemusnahan yang berlaku pada hari ini bukan bermula hanya selepas PRU
ke-14, tetapi permulaannya lebih awal dari itu, hasil dari perbuatan
tangan-tangan pemimpin Melayu sendiri,” katanya.
Dalam
Ucapan Dasar beliau sempena Mesyuarat Agung Ke-16 Isma hari ini,
Abdullah Zaik berkata, kesan yang kini ditanggung orang Melayu berpunca
daripada sikap puak anglophile Melayu kerana bertanggungjawab
melanjutkan dasar-dasar penjajah dan membunuh agenda perjuangan bangsa.
Katanya,
golongan anglophile ini jugalah yang mengambil kesempatan atas
kemiskinan orang Melayu untuk membeli mandat daripada mereka dan
menggunakan kepercayaan itu untuk kepentingan peribadi serta keluarga.
“Keadaan
hanya akan berubah dan orang Islam akan selamat hanya apabila mereka
mengambil langkah komprehensif menebus kedaulatan agama dan bangsa
mereka dengan kembali kepada Islam.
”
Membangunkan negara berasaskan kepada akidah dan mencari kemajuan
mengikut falsafah peradaban sendiri. Untuk tujuan itu semua, kita
terlebih dahulu hendaklah menamatkan ancaman pemerintah yang dikuasai
bukan Islam yang rasis.
“Kemudian,
kita perlu menyatukan orang Islam dan Melayu atas dasar akidah dan
seterusnya kembali kepada kerangka peradaban kita yang tersendiri.
Langkah ini sahaja yang akan menebus kembali kedaulatan agama dan bangsa
di tanah air kita ini,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan