Ahad, 24 Mac 2019

Nurul Izzah kongsi sebab 'patah hati'

MALAYSIAKINI

   

Ahli Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar mengaku "patah hati" dengan perkembangan politik kebelakangan ini.

Dalam wawancara Straits Times, Nurul Izzah juga memberi gambaran bahawa penggal ini akan menjadi yang terakhir baginya sebagai wakil rakyat.

Memberi gambaran tentang perkembangan politik dalam tempoh setahun lalu, anak perempuan Presiden PKR Anwar Ibrahim itu berkata: "Sangat mencabar dan huru-hara. Saya belajar banyak perkara, tapi saya juga rasa saya sudah seperti patah hati."

Wawancara itu menggambarkan Nurul Izzah sebagai keberatan menyatakan secara spesifik sebab patah hati kerana mahu terus memberi "hormat" dan tidak ingin mengeruhkan lagi keadaan.

Bagaimanapun, Nurul Izzah menyebutkan beberapa perkara yang mengecewakannya.

Salah satunya, Nurul Izzah mengakui penyertaan bekas ahli parlimen Umno dalam parti komponen PH merupakan perkara yang mengecewakannya.

"Ia situasi sukar yang sangat buruk, bukan hanya untuk PKR, tapi juga untuk pengundi dan rakyat Malaysia secara keseluruhannya.

"Ia situasi yang sangat menyedihkan kerana saya percaya sistem dua gabungan penting untuk masa depan Malaysia," katanya.

Nurul Izzah juga menegaskan perlunya naratif jelas untuk menguatkan golongan yang dianggap moderat.

"Kita tidak begitu tumpu untuk menguatkan yang di tengah-tengah. Kita tidak cukup berusaha untuk ketengahkan golongan yang dianggap moderat," tambahnya.

Selain itu, bekas naib presiden PKR itu turut mengakui cabaran bekerjasama dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yang satu ketika dulu merupakan seteru ayahnya.

"Bekerja dengan bekas diktator yang menyebabkan banyak kerosakan, bukan saja pada kehidupan keluarga kami, tapi juga sistem (pentadbiran negara). Ia bukan sesuatu yang mudah," katanya.

Dua hari lalu, Nurul Izzah dilapor meletakkan jawatan dalam Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

Perkembangan itu hadir selepas Dr Mahathir mengarahkan agar Ronald Kiandee terus memegang jawatan pengerusi PAC, meskipun bekas ahli parlimen BN itu sudah menyertai PH.

Keputusan Dr Mahathir itu dilihat bercanggah dengan manifesto PH yang berjanji agar pengerusi PAC diketuai pemimpin pembangkang.

Disember tahun lalu, Nurul Izzah membuat keputusan yang mengejutkan apabila meletakkan jawatan sebagai naib presiden PKR dan Pengerusi PKR Pulau Pinang.

Nurul Izzah juga sudah melepaskan semua jawatan dalam kerajaan dan menumpukan untuk menjadi ahli parlimen.


Tiada ulasan: