Rabu, 6 Mac 2019

Nazri tak hadir mesyuarat BN Jumaat ini, beri peluang MCA, MIC bantah lantikannya

Nazri Aziz pada mulanya mahu menghadiri mesyuarat Dewan 
Tertinggi BN Jumaat ini untuk mempertahankan dirinya.
 
KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung Barisan Nasional, Nazri Aziz tidak akan menghadiri mesyuarat parti itu Jumaat ini untuk memberi peluang MCA dan MIC membangkitkan isu pelantikannya.

“Saya mahu MCA dan MIC hadir dalam mesyuarat BN pada Jumaat ini,” katanya dalam sidang media khas di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.

“Mesyuarat mungkin tidak dapat dijalankan kerana kenyataan MCA dan MIC yang mengatakan kalau saya datang, mereka tidak datang. Jadi, saya tidak datang supaya mesyuarat boleh berjalan.

“Saya nak MCA dan MIC bangkitkan isu pelantikan saya supaya ia boleh dibincangkan secara rasmi dan minta saya letak jawatan (jika) mereka tak setuju.

“MCA perlu diberi peluang berkenaan cadangan mereka supaya kita boleh bincang, tidak boleh tergantung isu ini terlalu lama dan saya tidak boleh menjadi sebab mesyuarat tidak dapat berjalan. Kita perlu selesaikannya.”

Kelmarin, MCA dan MIC dilaporkan menggesa BN mengadakan mesyuarat untuk membincangkan masa depan bekas gabungan parti pemerintah itu, dengan syarat Nazri tidak hadir.

Presiden MCA, Wee Ka Siong dan Presiden MIC, SA Vigneswaran berkata, kesahihan mesyuarat pada Jumaat ini akan dipertikaikan kerana pelantikan Nazri ke jawatan itu tidak mengikut perlembagaan BN.

Nazri berkata, beliau pada mulanya berhasrat menghadiri mesyuarat Dewan Tertinggi BN untuk mempertahankan dirinya.

“Mula-mula saya nak datang sebagai ‘gentleman’. Lebih baik kita duduk bersemuka dan mereka boleh kata mereka tak mahu saya. Kalau ada tuduhan kepada saya, boleh saya pertahankan diri saya.

“Saya tidak ada sebarang masalah jika saya ditolak, saya tak ada masalah dikeluarkan. Saya mahu bangkitkan soal pelantikan dan bincangkan dalam mesyuarat itu.”

Tiada ulasan: