Selasa, 12 Mac 2019

LGBT atau hak-hak terhadap wanita?


Oleh Maszlee Malik
 


 Baru-baru ini, bertepatan dengan Hari Wanita Sedunia, 9 Mac 2019, kira-kira lebih dari 1,000 orang demonstran berarak di pusat ibu kota. Mereka berteriak menuntut hak-hak wanita dibela dan diadili sebaiknya.

Suara mereka bergema meriah di ruang demokrasi. Dan tentunya di era Malaysia Baharu ini, suara-suara mereka tidak lagi terpenjara.

Sejujurnya, ini adalah kali pertama negara kita menghirup nafas demokrasi dengan tenang. Tiada lagi culture of fear, tiada lagi alasan yang dicipta-cipta untuk menyumbat seseorang ke dalam penjara. Mungkin beberapa tahun lagi, anak cucu kita tidak akan lagi mengenali apa itu ISA dan apa itu Sosma. Semuanya akan menjadi arkaik dan kuno.
 Semua ini adalah kejayaan kita secara bersama. Secara diam-diam kita sedang kecapi dan nikmatinya bersama. Namun pasti, ada pihak yang akan memastikan ruang ini dimanfaatkan untuk tujuan peribadi mereka. Bahkan, inilah ruang yang paling bernas dan berkesan untuk dimanipulasikan sebaiknya.
Wacana hak wanita yang terlindung

Ketika kita semua sedang bergelut berbicara mengenai golongan aktivis LGBT hari ini, sekurang-kurangnya 1 daripada 10 wanita di dunia ini sedang memikirkan bagaimana mereka mahu keluar daripada segala jenis keganasan dan kekerasan yang mereka sedang alami.

Dan persoalan yang lebih serius, apakah yang terlintas di fikiran kita saat mengetahui 38 peratus daripada mayat-mayat wanita di seluruh dunia meninggal kerana dibunuh oleh pasangan mereka sendiri?

Dan apa pula yang akan kita fikirkan apabila membayangkan hampir 700 juta daripada mereka yang masih hidup berkahwin di bawah umur 18 tahun, dan 200 juta daripadanya berkahwin di bawah umur 15 tahun?
Ini semua adalah isu besar, jagat dan sangat mustahak untuk kita wacanakan.

LGBT sebagai ‘ad usum proprium’ 

Saya teringat beberapa bulan sebelum menjadi menteri, seorang anak siswa mengajarkan kepada saya sebuah perkataan latin yang berbunyi – ad usum proprium; dalam bahasa Inggerisnya bermaksud for one's own use atau bahasa Melayu bermakna “untuk kegunaan sendiri”.

Ia persis sepertimana kita melihat wacana LGBT hari ini. Soalan saya mudah, ketika kita berteriak-teriak mengenai LGBT, apakah hak-hak wanita di dalam negara ini sudah selesai atau dilunaskan?
Saya juga tidak bersetuju dengan amalan songsang LGBT, tetapi kita tidak boleh mengetepikan isu diskriminasi yang sedang dialami oleh wanita di luar sana. Adakah kita mahu mendiamkan diri apabila International Labour Organization melaporkan hampir 53 peratus wanita di seluruh dunia ini tidak mempunyai peluang pekerjaan yang sewajarnya?

Bagaimana dengan isu ekonomi warga ibu tunggal misalnya?
Apakah isu diskriminasi dalam peluang pekerjaan telah selesai?
Bagaimana pula dengan masalah perkahwinan bawah umur?
Semuanya ini adalah isu-isu yang besar dan perlu diwacanakan secara serius, malah lebih penting dibahaskan pada Hari Wanita.

Ruang demokrasi yang ‘substantial’

Sebagai rakyat Malaysia yang budiman, kita perlu memperhalusi setiap isu yang sering muncul di media massa. Stamina membaca, menganalisa dan menyelidiki secara menyeluruh perlu ditingkatkan agar kita menjadi rakyat yang matang, berwawasan, dan berfikiran terbuka.

Ruang demokrasi ini lebih subur sekiranya ia diisi dengan wacana yang lebih matang, terbuka, substantial, tanpa mengabaikan pentingnya pendekatan rahmah, saling menghormati dan tidak sengaja mengapi-apikan sensitivi mana-mana pihak.

Dari sudut agama Islam pula, sememangnya sudah jelas, Islam mengiktiraf hak-hak keadilan terhadap wanita. Saya masih ingat lagi ketika membaca sebuah buku karangan Prof Dr Hamka, “Kedudukan Perempuan dalam Islam” (Jakarta, 1996) ketika menghuraikan ayat 1 surah al-Nissa’, yang berbunyi:

“Wahai sekalian manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya - Hawa), dan juga yang membiakkan dari keduanya - zuriat keturunan - lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-yebut nama-Nya, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu.”
Allahyarham Hamka
Hamka menghuraikan ayat ini dengan sangat indah, kata beliau;
“Di dalam ayat ini dipadukan antara lelaki dengan perempuan. Disedarkan mereka bahawa meskipun terpisah, mereka pada hakikatnya adalah satu.”

Kesamarataan dari sudut peranan homo-islamicus dalam memberi dan menyumbang ke arah kemakmuran dan kesejahteraan hidup sememangnya tidak boleh dipisahkan mengikut jantina. Peranan ini perlu digalas secara bersama.

Di dalam Surah al-Tawbah pula, ayat 71, Allah berfirman, “Orang-orang yang beriman lelaki dan perempuan, sebahagian mereka adalah penolong kepada sebahagian yang lain. Mereka menyuruh berbuat kebaikan dan melarang daripada melakukan kemungkaran”.

Ayat ini jelas menegaskan bahawa kedudukan wanita di sebalik lelaki; malah dalam menjalankan tugas sebagai khalifah di muka bumi ini, peranan wanita tidak boleh dikesampingkan. Isu-isu wanita yang dipersembahkan wajar mendapat perhatian kita semua agar dalam tidak sedar kita tidak mahu menjadi penindas dan menafikan hak seseorang.

Kebebasan yang terpenjara

Suara-suara yang bergema di ruang demokrasi ialah suatu layar reformasi yang sebenarnya sangat boleh dibanggakan. Dan suara-suara ini jugalah yang telah membuktikan bahawa kebebasan bersuara itu merupakan elemen terpenting yang perlu diurus dalam meneruskan usaha membentuk good governance bagi sesebuah kerajaan.

Saya menyeru kita semua membaca semula Perlembagaan, dan sekali lagi belajar bersama-sama mengenai kebebasan. Serta memelihara sudut pandang agar kebebasan yang kita nikmati hari ini tidak memenjarakan pula pemikiran kita kepada hanya satu sudut pandang yang kita anuti sahaja.

Saya juga ingin menyeru kita semua menghormati Hari Wanita bukan sahaja melalui slogan atau perarakan, tetapi bahkan melalui wacana yang diperdebatkan. Hak-hak wanita misalnya merangkumi isu sosial hinggalah kepada isu ekonomi, harus menjadi titik perbincangan.

Ia adalah akar kepada segala permasalahan. Dan meneliti serta melihatnya dengan objektif adalah satu-satunya pilihan yang kita ada hari ini.

Hanya dengan ini sahaja, kita semua akan bergerak ke arah menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang subur wacananya, matang dan berfikiran terbuka serta masyarakat yang berbudi pekerti yang tinggi.



*MASZLEE MALIK bertugas sebagai menteri pendidikan

Tiada ulasan: