Ahad, 3 Mac 2019

Lepas kalah di Semenyih, MB akui PH perlu teliti semula polisi

MALAYSIAKINI

   

Selepas gagal mempertahankan DUN Semenyih dalam pilihan raya kecil (PRK) semalam, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari mengakui PH perlu meneliti semula beberapa polisinya.

"PRK DUN Semenyih adalah satu pertarungan yang agak sengit dan mendebarkan. Saya tidak nafikan kami perlu semak kembali dan teliti semula beberapa polisi dan keputusan demi kesejahteraan rakyat," katanya dipetik Bernama.

Amirudin bercakap kepada pemberita selepas menyempurnakan Malaysia Woman Marathon 2019 (MWM2019) di Padang Timur, Petaling Jaya hari ini.

PRK semalam menyaksikan BN berjaya menawan semula kerusi DUN Semenyih apabila calonnya, Zakaria Hanafi memenangi pertandingan empat penjuru itu dengan majoriti 1,914 undi.

Zakaria, 58, meraih 19,780 undi menewaskan calon PH Muhammad Aiman Zainali, 30, yang memperoleh 17,866 undi; Nik Aziz Afiq Abdul, 25, daripada Parti Sosialis Malaysia (PSM) (847 undi) dan calon bebas yang juga seorang aktivis masyarakat, Kuan Chee Heng, 56, (725 undi).

Kemenangan itu merupakan yang kedua buat BN dalam siri PRK selepas pertukaran kerajaan.

Bagaimanapun, Amirudin menegaskan agenda pembangunan di Semenyih yang telah dirancang dalam kerangka belanjawan negeri sebelum ini akan diteruskan.

"Cuma mungkin perlukan masa untuk susun semula dan laksanakannya berdasarkan jadual.

"Itu semua adalah dalam kerangka belanjawan negeri dan bukanlah kerana PRK. Kami bukanlah hendak 'hukum' Semenyih," katanya.


Tiada ulasan: