Selasa, 19 Mac 2019

Kor Ming halau Noh keluar Dewan isu ‘Taliban’

Kasthuri Jeevendran
MGF19072017_PELANCARAN-BUKU-DKN-08-1-681x454
Noh Omar
 

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Tanjong Karang (BN), Datuk Seri Noh Omar diperintahkan keluar Dewan dan digantung kehadiran selama tiga hari berkuatkuasa hari ini kerana didapati menghina Dewan semalam.

Menurut Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Nga Kor Ming, beliau terpaksa mengambil tindakan sedemkian kerana mahu menjaga instuitusi Parlimen agar tidak tercemar dengan tindakan ‘tidak senonoh’.

Jelas Kor Ming, beliau juga memutuskan untuk menggantung Noh kerana beliau bukan sahaja tidak menghormati Pengerusi Dewan sebaliknya turut melemparkan tuduhan seperti dirinya tidak layak menjawat jawatan Speaker.

“Sebagai Speaker, saya bukan sahaja bertanggungjawab untuk menjaga kerusi ini dengan adil dan saksama sebaliknya juga memikul tanggungjawab amanah membela integriti serta kewibawaan institusi Parlimen.

“Kelakuan tidak senonoh Tanjong Karang semalam dengan menghina majlis mesyuarat, tidak endah kuasa Pengerusi, tohmahan dilempar termasuk tuduhan saya tidak layak memegang jawatan ini sebenarnya satu penghinaan secara terbuka kepada kerusi ini.

“Berpandukan Perkara 43 dan 44, saya memerintahkan Tanjong Karang keluar Dewan dan juga digantung selama tiga iaitu hari ini, esok dan lusa Khamis. Semoga ini menjadi iktibar kepada dirinya supaya tidak menghina Dewan seperti ini,” katanya sebentar tadi ketika membuat keputusan itu dalam sesi Dewan Rakyat.

Semalam, Noh Omar bangkit menyoal Kor Ming berhubung kenyataan ‘Taliban’ itu.

Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang (BN) bertanya adakah benar media sosial telah memutarbelitkan kenyataan beliau, jika benar sepatutnya media itu perlu disaman.
Ia seterusnya berlaku ‘pergaduhan’ selama hampir lima minit, Kor Ming yang juga Pengerusi DAP Perak dan Noh bertikam lidah berhubung isu tersebut sebelum mikrofon di meja Noh ditutup.
“Tanjong Karang, saya sudah jelaskan minggu lepas tetapi anda tidak ada dalam dewan ketika itu,” kata Kor Ming.
Bagaimanapun Noh sekali lagi menyoal adakah benar beliau menyebut sedemikian berhubung kerjasama antara Pas-UMNO itu. -MalaysiaGazette 

 

Tiada ulasan: