THE MALAYSIAN TIMES
KUALA LUMPUR: Keputusan sama ada kerajaan Pakatan Harapan (PH) akan memansuh atau meminda Akta Hasutan 1948 akan dibuat dalam masa terdekat, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong.
Katanya perkara itu kini sedang dikaji dan pada dasarnya kerajaan sememangnya dalam proses mempertimbangkan Akta Hasutan dengan tujuan untuk memansuhkan.
“Kerajaan telah memutuskan bahawa sekiranya terdapat sesiapa sahaja (disiasat) di bawah Akta Hasutan, kerajaan telah mengeluarkan arahan kepada pihak polis untuk tidak menggunakan akta itu terhadap mereka yang terlibat,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil (PH-Lembah Pantai) mengenai komitmen kerajaan untuk memansuhkan Akta Hasutan 1948.
Menjawab soalan asal Wong Shu Qi (PH-Kluang) sama ada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad setuju dengan penahanan individu yang mengkritiknya, Liew berkata kerajaan mengambil pendirian bahawa seseorang ahli politik perlu menerima sebarang kritikan khususnya kritikan membina.
“Kebebasan untuk mengkritik bagaimanapun tidak bermakna sesiapa sahaja boleh mengeluarkan kata-kata dengan tujuan memfitnah seseorang atau reputasi peribadi individu tersebut kerana memfitnah adalah satu kesalahan di bawah undang-undang,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan