Ahli perniagaan Jho Low yang kini dalam buruan mengecam penyitaan rumah keluarganya di Pulau Pinang dan menyifatkannya sebagai usaha Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad untuk mendapatkan modal politik.
"Hartanah keluarga Low dibina dan disiapkan kira-kira 20 tahun lalu, ketika Mahathir menjadi perdana menteri pertama kali.
"Itu adalah sedekad sebelum kewujudan 1MDB dan ketika itu Low masih remaja.
"Penyitaan hartanah ini tidak mempunyai hubung kait dengan sebarang dakwaan, merupakan contoh tindakan Mahathir mempolitikkan isu... Yang menunjukkan Low tidak akan dapat perbicaraan yang adil," kata kenyataan yang dikeluarkan oleh jurucakap Low hari ini.
Awal hari ini, New Straits Times melaporkan notis penyitaan ditampal pada dinding hadapan rumah berkenaan di Pulau Pinang. Notis itu ditujukan kepada ibu Low yang berumum 66 tahun, Goh Gaik Ewe.
Notis yang ditandatangani oleh Timbalan Pendakwa Raya Syafinas Shabudin itu menyatakan bahawa hartanah berkenaan merupakan subjek bagi kesalahan di bahawa Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).
Seksyen berkenaan diperuntukkan bagi menangani kesalahan pengubahan wang haram yang membawa hukuman 15 tahun penjara dan denda lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta.
Jurucakap Low juga mempersoalkan kerajaan yang tiba-tiba berminat dengan hartanah berkenaan.
Polis sebelum ini meminta Goh dan suaminya, Low Hock Peng membantu siasatan untuk mengesan Jho Low, yang dipercayai berada di China.
Pada Feb 2018, kapal layar mewah Jho Low yang dilaporkan bernilai AS$250 juta turut disita.
Penyiasat antarabangsa percaya sekurang-kurangnya AS$4.5 bilion disalah guna dari dana 1MDB.
Bekas perdana menteri Najib Razak kini berdepan 42 dakwaan pengubahan wang haram dan rasuah berhubung skandal 1MDB.
SPRM mendakwa Najib menerima AS$972 juta yang dikaitkan dengan 1MDB. Najib menafikan sebarang salah laku.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan