Penasihat kumpulan Lawyers for Liberty, N Surendran
terperanjat dengan kenyataan Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin yang
berkata himpunan sambutan Hari Wanita Sedunia berlangsung tanpa permit.
"Cukup memeranjatkan. Bertindak macam BN buat dahulu. Di bawah PAA tidak ada suatu yang dikatakan sebagai permit, cuma pemberitahuan kepada pihak polis.
"Bagaimana menteri dalam negeri tidak sedar perkara ini?" Soalnya dalam siri ciapan di Twitter.
Perhimpunan Hari Wanita Sedunia Sabtu lalu antara lainnya menggesa larangan perkahwinan kanak-kanak dan menghentikan keganasan berdasarkan gender tetapi fokus tuntutannya tenggelam dengan kehadiran beberapa peserta daripada komuniti lesbian, gay, biseksual dan transeksual (LGBT).
"Perhimpunan itu berlangsung dengan teratur dan kehadiran unsur LGBT tidak menjadikan perarakan itu melanggar undang-undang," kata Surendran yang juga bekas naib presiden PKR.
Surendran menegur kerajaan PH kerana melupakan perjuangannya terhadap hak untuk berhimpun secara aman.
"Sekarang Pakatan Harapan memerintah, cukup cepat mereka lupa perjuangan panjang penuh liku untuk mendapatkan hak berhimpun secara aman.
"Malahan, perarakan hari wanita yang tidak memudaratkan itu berterusan diganggu. Selepas mendapat kuasa, mereka kini menindas dengan cara yang sama," katanya.
Terdahulu hari ini, Muhyiddin berkata pihak berkuasa tidak mengeluarkan permit berhubung
penganjuran perhimpunan menuntut hak wanita bersempena Hari Wanita
Sedunia berhampiran pusat beli-belah di ibu kota itu.
“Pihak polis sudah menjalankan siasatan dan mendapati tiada permit dikeluarkan bagi perhimpunan itu. Mana-mana pihak yang ingin mengadakan perhimpunan, mereka mestilah mengikut undang-undang yang ditetapkan.
“Bagaimanapun, saya dimaklumkan mereka berhimpun tanpa permit sekali gus telah melanggar undang-undang jadi saya serahkan perkara ini pada pihak polis,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi parlimen hari ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan