Selasa, 5 Mac 2019

Henti hina Nabi kami!

Oleh Athirah Huda Zalhe

Usah kompromi dengan penghina Rasulullah ﷺ: Pemuda Isma


BANGI – “Cukuplah menghina Nabi Muhammad ﷺ dan sengaja mencetuskan ketegangan antara kaum serta agama di negara ini.”

Demikian tegas Setiausaha Agung Pemuda Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Eqwan Roslan terhadap beberapa individu biadab yang bersikap melampau menghina Rasulullah ﷺ menerusi media sosial.

Beliau berkata, sikap terbuka puak berkenaan dilihat semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini, meskipun umat Islam sudah bersuara dan membuat kebangkitan menentang tindakan melampau itu.

“Orang bukan Islam harus renungi apa yang mereka ingin kecapi dengan menghina Nabi Muhammad ﷺ. Perbuatan mereka adalah satu sumber ketegangan antara kaum di Malaysia.

“Perbuatan itu juga adalah buruk untuk kestabilan negara dan segala kekayaan serta kestabilan yang dinikmati selama ini boleh hilang,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas tindakan beberapa individu yang didapati membuat penghinaan kepada agama Islam serta Nabi Muhammad ﷺ.

Terbaharu, pemilik akaun Twitter menggunakan nama ‘Alvin Chow’ menghina bangsa Melayu dan mencaci Nabi Muhammad ﷺ dengan mengeluarkan pelbagai kata kesat.

Mengulas lanjut, Eqwan berkata, pihak berkuasa didesak supaya tidak berkompromi dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang bertindak melampaui batas menghina Islam dan Rasulullah ﷺ.

“Mereka yang berasal atau menetap di Selangor harus menjunjung titah Duli Yang Teramat Mulia Sultan Selangor agar menghentikan perbuatan mempersenda peribadi Rasulullah,” tegasnya.


Tiada ulasan: