Isnin, 18 Mac 2019

Gelombang merah hijau siap sedia gempur DUN Rantau

Manzaidi Mohd Amin
Tok Mad bersama jentera Pergerakan Wanita UMNO dalam perjumpaan di Command Center BN DUN Rantau semalam
Tok Mad bersama jentera Pergerakan Wanita UMNO dalam perjumpaan di Command Center BN DUN Rantau semalam

KUALA LUMPUR – Gelombang merah hijau bakal mewarnai Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau minggu depan.

Gerakan kerja melibatkan semua tiga sayap parti iaitu Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO telah digerakkan bersama jentera Pas yang akan membantu memastikan kemenangan calon Barisan Nasional (BN).

Menurut anggota Exco Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Nooraieni Mohd Ali, rentak dan semangat untuk bangkit meneruskan perjuangan akan bermula pada hari penamaan calon pada 30 Mac ini.

“Kita tidak akan menoleh kebelakang lagi untuk menyesali apa yang telah rakyat putuskan dalam PRU-14 kerana kita mahu kemenangan terus berpihak kepada BN.

“Usaha berganda akan terus dilaksanakan oleh Wanita UMNO bersama Muslimat Pas dalam meyakinkan pengundi tanpa perlu menuding ‘dosa’ kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang gagal menunaikan manifesto PRU-14,” katanya sebagaimana dilaporkan UMNO Online hari ini.

Jelas Nooraieni, jentera parti perlu memastikan kemenangan DUN Rantau kekal kepada BN sebagai isyarat agenda penyatuan ummah sudah dimeterai bersama UMNO dan Pas.

Katanya, atas keyakinan itu dan disertakan dengan gerak kerja semua jentera parti untuk terus membantu rakyat sebagai modal yang akan diketengahkan walaupun sedar kerajaan negeri tidak akan beralih tampuk pemerintahan biarpun jika BN menang.

“Kita perlu ada barisan pembangkang yang kuat dan mantap bagi memastikan kerajaan negeri melaksanakan tanggungjawab mereka kepada rakyat, malah kemenangan Datuk Seri Mohamad Hasan atau lebih mesra dengan panggilan Tok Mad dalam PRK ini akan menjadi sinar untuk rakyat dalam semak dan imbang pada kerajaan hari ini,” katanya. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: