Isnin, 25 Mac 2019

Dr Mahathir mesti waspada Mac hingga November: Khairuddin

ISMA WEB

Penyelaras Parlimen Jasin anggap perbuatan Ahli Parlimen Permatang Pauh jatuhkan kredibiliti Perdana Menteri perbuatan tidak beretika


BANGI – Penyelaras Parlimen Jasin, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan mendedahkan gerakan menggulingkan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri masih dilakukan oleh pihak tertentu bagi mencapai agenda politik mereka.

Sehubungan itu, beliau yang juga bekas calon Pakatan Harapan (PH) Parlimen Jasin pada Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu, mengingatkan Dr Mahathir supaya terus berwaspada mulai sekarang hingga November ini.

“Ini adalah satu gerakan yang dirancang secara terancang untuk menjatuhkan kredibiliti Tun Dr Mahathir seterusnya menggulingkan beliau dari jawatan Perdana Menteri Malaysia.

“Tun Dr Mahathir harus terus berwaspada di antara bulan Mac sehingga November tahun ini. Seandainya kalangan parasit ini bersikap keterlaluan, saya akan perangi mereka secara habis-habisan walaupun terpaksa lawan seorang diri.

“Alang-alang seluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan. Pantang anak Melayu berundur sebelum melawan,” katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.

Khairuddin berkata demikian ketika mengulas perbuatan Ahli Parlimen PKR Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar yang dianggap mengeluarkan kenyataan negatif terhadap Perdana Menteri di kepada akhbar Singapura – Straits Times.

“YB Nurul Izzah mempunyai pelbagai platfom terbaik di dalam negara untuk meluahkan perasaan tidak puas hati beliau pada Tun Dr Mahathir. Ahli Parlimen Permatang Pauh ini amat emosional dan tidak rasional.

“Sesungguhnya, adalah tidak wajar serta tidak beretika untuk YB Nurul Izzah meluahkan kata-kata tersebut pada Tun Dr Mahathir di dalam interbiu beliau dengan akhbar Straits Time Singapura dua hari lepas.

“Bagi saya, YB Nurul Izzah cukup matang di dalam politik dan saya juga amat yakin beliau sendiri akan setuju dengan pandangan yang beliau lontarkan pada Perdana Menteri Malaysia di Singapura, amat tidak beretika sama sekali… kerana ianya bukan saja bakal mengaibkan imej Tun Dr Mahathir tetapi juga maruah negara turut tercemar,” katanya.

Dalam temu bual itu, Nurul Izzah – anak Datuk Seri Anwar Ibrahim – mengakui cabaran bekerjasama dengan Dr Mahathir yang satu ketika dulu adalah seteru ayahnya.

“Bekerja dengan bekas diktator yang menyebabkan banyak kerosakan, bukan saja pada kehidupan keluarga kami, tapi juga sistem (pentadbiran negara). Ia bukan sesuatu yang mudah,” kata Nurul Izzah.

Pada masa sama, Khairuddin berkata, sikap tidak ikhlas dan tikam belakang sentiasa berlaku di kalangan parti gabungan PH.

“Inilah masalah di antara rakan-rakan dalam Pakatan Harapan. Segelintir daripada mereka tidak ikhlas sesama sendiri. Sekiranya inilah sikap tidak ikhlas dan tiada semangat kesetiakawanan sesama kita, macam mana Tun Dr Mahathir nak kemudi negara ke era lebih gemilang dan cemerlang?

“Tikam belakang sesama sendiri senantiasa berlaku yang akhirnya kita terpaksa buang masa untuk memikirkan bagaimana hendak menangkis serangan sesama kawan-kawan sendiri. Memberi komen-komen negarif terhadap Tun Dr Mahathir di luar negara amat tidak wajar. Ini cukup tidak beretika,” katanya.


Tiada ulasan: