Rabu, 20 Mac 2019

Anggota Amanah perlu kerja keras pastikan kemenangan Streram di Rantau

THE MALAYSIAN TIMES
 


REMBAU: Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu, mahu semua ahli parti bekerja keras memastikan kemenangan calon Pakatan Harapan (PH), Dr S Streram pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau.

Beliau yang juga Menteri Pertahanan berkata, meskipun PH kalah di PRK Parlimen Cameron Highlands dan DUN Semenyih, namun yakin mampu mencipta kemenangan di DUN Rantau.

“Ada yang berkata elok kalau di Rantau kita letak calon Melayu macam di Cameron Highlands letak Melayu Orang Asli boleh menang, Semenyih calon Melayu tetapi kita nak beritahu kita tidak akan terperangkap dengan perkauman.

“Kita setia kepada semangat kerjasama antara kaum dan kalah atau menang, kita tak mahu terperangkap dengan sentimen perkauman,” katanya pada Majlis Pelancaran Jentera AMANAH bagi PRK DUN Rantau di sini, malam tadi.

Turut hadir beberapa pemimpin AMANAH iaitu Naib Presiden, Dr Hasan Bahrom; Pengarah Pilihan Raya, Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli; Pengerusi AMANAH Negeri Sembilan, Datuk Zulkefly Mohamad Omar dan Dr Streram.

Dalam pada itu, Mohamad berkata anggota AMANAH bertanggungjawab sekiranya Dr Streram kalah.

“Calon kita seorang tokoh yang berjasa besar kepada semua kaum dan tugas kita adalah memenangkan calon…menang Dr Streram, menanglah PH,” katanya.

PRK DUN Rantau diadakan selepas Mahkamah Persekutuan pada 18 Februari lalu menolak petisyen difailkan Datuk Seri Mohamad Hasan yang juga Timbalan Presiden UMNO, untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban, pada 16 November tahun lalu yang mengisytiharkan kemenangan beliau bagi DUN Rantau terbatal dan tidak sah.
Susulan itu SPR mengumumkan PRK DUN Rantau diadakan pada 13 April depan, hari penamaan calon 30 Mac ini manakala tarikh mengundi awal 9 April.–Bernama


Tiada ulasan: