Rabu, 20 Mac 2019

46 lokasi berpotensi berlaku pencemaran di Pasir Gudang – Yeo

MALAYSIA GAZETTE
xMGF15032019_SUNGAI-KIM-KIM-CEMAR08-2-681x454
Keadaan aliran Sungai Kim Kim yang tercemar dipercayai akibat pembuangan sisa toksik di Taman Kota Masai Cermai, Pasir Gudang, Johor. foto HAZROL ZAINAL
 

ISKANDAR PUTERI – Sebanyak 46 lokasi di Pasir Gudang dikenal pasti berpotensi menjadi sumber pencemaran, kata Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin.

Penemuan itu katanya diperoleh berdasarkan data satelit susulan pemantauan pihak berkuasa ketika mengesan punca dan sumber kes pencemaran sisa kimia di Sungai Kim Kim.

“Bagi 46 lokasi itu saya tiada angka yang tepat sama ada antaranya adalah tempat pelupusan sampah domestik atau adalah tempat (pembuangan) sisa berjadual,” katanya kepada pemberita selepas membentangkan laporan terperinci oleh Jawatankuasa Saintifik mengenai pencemaran sungai di Bilik Mesyuarat Utama, Bangunan Dato Jaafar Muhamad di Kota Iskandar, di sini hari ini.

Yeo bagaimanapun menegaskan kesemua lokasi itu disahkan bukan sumber kepada pencemaran gas di Sungai Kim Kim.

“Punca pencemaran keracunan gas hanya satu, iaitu di Sungai Kim Kim,” katanya yang turut mengesahkan pencemaran di Sungai Selangkah dan Sungai Masai juga bukan punca keracunan sungai berkenaan.

Menjelas lanjut, Yeo berkata kementerian akan mewujudkan jawatankuasa penilai bagi melihat sungai-sungai tercemar bukan sahaja di Pasir Gudang malah di semua kawasan perindustrian di seluruh negara.

“Apa yang dilakukan di sini, akan dilakukan di kawasan perindustrian-perindustrian lain di Malaysia.

Apa yang kita pelajari mengenai isu ini adalah kita kena memperkukuhkan lagi prosedur operasi standard (SOP), macam mana kita boleh memperkukuhkan operasi kita untuk menjaga kualiti alam sekitar,” kata beliau.

Selain itu, beliau berkata adalah penting untuk memperkasakan jentera di bawah agensi-agensi Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) bagi memperhebatkan lagi aktiviti penguatkuasaan pada masa hadapan.— BERNAMA

Tiada ulasan: