Isnin, 18 Mac 2019

1 parah dalam kemalangan di landasan lapangan terbang Subang

Malaysia Airports berkata, kemalangan itu menyebabkan ketibaan 
beberapa penerbangan terjejas dan operasi penerbangan kembali 
pulih 9 pagi tadi. (Gambar Bernama)
 
KUALA LUMPUR: Seorang pemandu kenderaan kejuruteraan lapangan terbang cedera parah selepas terlibat dalam kemalangan dengan pesawat persendirian di landasan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) di Subang, awal pagi tadi.

Malaysia Airports dalam satu kenyataan berkata, kakitangan itu sudah menjalani pembedahan dan akan menerima rawatan terbaik, manakala penumpang dan kru pesawat itu tidak cedera dalam insiden 3.20 pagi itu.

“Inisiden itu dilaporkan kepada pasukan bomba dan penyelamat lapangan terbang yang tiba di tempat kejadian pada 3.21 pagi,” kata kenyataan itu sambil menambah insiden itu menyebabkan ketibaan beberapa penerbangan terjejas kerana kerja pembersihan serpihan di landasan.

Katanya, operasi penerbangan kembali pulih pada 9 pagi tadi.
Menurut kenyataan itu, pasukan penyiasat yang ditubuhkan Malaysia Airports sedang bekerjasama rapat dengan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) bagi menyiasat punca kemalangan itu.

Kenyataan itu menyatakan Kementerian Pengangkutan turut mengaktifkan “Bahagian Siasatan Kemalangan Udara (BSKU)” untuk menjalankan siasatan menyeluruh mengenai insiden terbabit.

Tiada ulasan: