Rabu, 14 November 2018

Tengkujuh: Sejauh mana persiapan di Kelantan

MUHAMED NORAZIHA ABDULLAH

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusoff meminta penjelasan Perdana Menteri mengenai tahap kesiapsiagaan dan persediaan bagi menghadapi musim tengkujuh khususnya di negeri Kelantan.
 
Beliau membangkitkan perkara itu semasa sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
 
Menjawab soalan tersebut, Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata semua agensi yang terlibat telah diberi amaran awal untuk membuat persiapan mencari dan menyelamat, pemindahan mangsa banjir, pengurusan pusat pemindahan dan pengurusan pasca banjir telah pun bersiapsiaga.
 
Katanya, persiapan diseluruh negara telah pun dibuat meliputi agensi-agensi utama seperti polis, bomba dan angkatan pertahanan awam akan menggerakkan kekuatan anggota seramai 78,612 orang akan digerakkan ke lokasi banjir.
 
Ahli Parlimen Rantau Panjang juga mengemukakan soalan tambahan dengan meminta penjelasan mengenai kebajikan agensi atau pegawai yang terlibat dalam usaha memberi bantuan kepada mangsa banjir.
 
Katanya, sampai sekarang Rantau Panjang tidak mempunyai pejabat Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan penjawatan tetap juga tiada.
 
"Setakat ini apakah program kerajaan untuk memastikan setiap daerah yang berisiko banjir mempunyai pejabat APM, pegawai berjawatan tetap serta mempunyai gaji tetap untuk mengurus sebab mereka agensi cukup penting dalam membantu pengurusan banjir," soalnya.
 
Beliau juga mempersoalkan apakah kerajaan bersedia untuk menyediakan peruntukan khas bagi menyediakan pejabat APM yang tetap di Rantau panjang dan memperkenalkan kenaikan gred penjawatan APM sebagai menghargai jasa mereka.
 
Menurutnya, seluruh negeri Kelantan pejabat tetap APM hanya ada tiga buah sahaja dengan jumlah pegawai berjawatan tetap sangat sedikit.
 
Wan Azizah yang juga Ahli Parlimen Pandan menjawab soalan tersebut dengan berkata memang sudah ada pejabat (APM) tetapi hendak dipindahkan disebabkan ada masalah tanah.

"Kita memang mahu mengiktiraf sumbangan APM ini, namun didapati ada kekangan sedikit apabila gred-gred ini boleh dipertimbangkan dan diperhalusi kalau sudah ada peruntukan yang perlu ditanya kepada menteri kewangan," ujarnya. – HARAKAHDAILY


Tiada ulasan: