Khamis, 15 November 2018

Tempoh 6 bulan untuk sahkan 44 barang kemas yang dihantar kepada Rosmah

THE MALAYSIAN TIMES
 


KUALA LUMPUR: Kerajaan mempunyai tempoh masa enam bulan untuk mengesahkan sama ada 44 unit barang kemas, bernilai US$14.79 juta atau hampir RM60 juta, yang didakwa telah dihantar kepada Datin Seri Rosmah Mansor oleh seorang peniaga barang kemas Lubnan, telah dirampas polis.

Afidavit sokongan oleh Ketua Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram Bukit Aman, Supt Foo Wei Min, menyatakan pihaknya belum berada pada kedudukan yang boleh mengesahkan secara bersumpah bahawa kesemua 44 unit barang kemas yang ditemui dalam suit yang diserbu polis itu adalah sebahagian daripada barang kemas yang telah dirampas polis.

“Pada bulan Mei tahun ini, kira-kira 12,000 unit barang kemas dirampas oleh unit kami daripada serbuan-serbuan yang dilakukan ke atas premis-premis yang dikaitkan dengan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Soal sama ada 44 unit barang kemas yang ditemui di dalam suit berkenaan adalah sebahagian daripada barang kemas yang dirampas, kami belum berada pada kedudukan yang boleh menyatakannya secara bersumpah, kerana kami masih ada enam bulan, sehingga bulan Mei 2019 untuk membuat pengesahan, dengan bantuan pakar.

“Saya sedar bahawa mengikut Seksyen 56 Akta 613, jika berkenaan dengan apa-apa harta yang disita di bawah Akta ini tiada pendakwaan atau sabitan bagi suatu kesalahan atau suatu kesalahan membiayai keganasan, Pendakwa Raya boleh, sebelum tamat tempoh dua belas bulan dari tarikh penyitaan itu, atau jika terdapat suatu perintah pembekuan, dua belas bulan dari tarikh pembekuan itu, memohon kepada seorang hakim Mahkamah Tinggi untuk mendapatkan suatu perintah pelucuthakan harta itu. Tempoh statutori 12 bulan itu berakhir pada Mei 2019,” katanya.

Pada 11 Okt, Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Wong Chee Lin memerintahkan pihak kerajaan memfailkan afidavit bagi mengesahkan sama ada 44 barang kemas yang didakwa telah dihantar kepada Rosmah oleh peniaga barang kemas Lubnan itu telah dirampas oleh polis.

Sementara itu, ketika ditemui selepas prosiding berkenaan yang diadakan di hadapan Wong di dalam kamarnya di sini hari ini, peguam Datuk G. David yang mewakili Global Royalty, berkata mahkamah telah memberi lebih banyak masa kepada mereka untuk mengesahkan sama ada 44 unit barang kemas itu telah dirampas oleh polis.

Turut hadir Peguam Kanan Persekutuan Alice Loke Yee Ching yang bertindak bagi pihak kerajaan dan peguam yang mewakili Rosmah, N. Rajivan. Mahkamah menetapkan 11 Feb tahun depan untuk pengurusan kes.

Pada 11 Okt, Wong juga menolak permohonan Rosmah, yang dinamakan sebagai defendan dalam kes saman yang difailkan oleh syarikat Lubnan, Global Royalty Trading SAL, untuk membatalkan saman itu tanpa mendengar hujahan pihak-pihak yang terlibat.

Bagaimanapun, katanya Rosmah boleh memfailkan permohonan baharu untuk memohon pembatalan itu selepas dapat dibuktikan bahawa barang kemas itu telah dirampas,

Kerajaan telah dinamakan sebagai defendan kedua dalam saman itu selepas ia berjaya dalam permohonannya untuk menjadi pencelah. Pada awalnya, Rosmah adalah satu-satunya defendan dalam saman itu.

Pihak kerajaan telah memohon untuk menjadi satu daripada pihak dalam saman yang dikemukakan oleh Global Royalty terhadap Rosmah itu dengan hujah bahawa barang kemas itu adalah milik kerajaan yang dibeli dengan wang curi.

Global Royalty memfailkan saman terhadap Rosmah pada 26 Jun, memintanya memulangkan semula 44 unit barang kemas yang didakwa oleh firma berkenaan telah dihantar kepada Rosmah untuk penelitiannya ataupun membayar harga bagi kesemua barang kemas itu berjumlah US$14.79 juta atau hampir RM60 juta.

Dalam pernyataan tuntutannya, peniaga barang kemas antarabangsa itu mendakwa Rosmah telah lama menjadi pelanggan setianya dan fima itu akan menghantar sejumlah barang kemas sekiranya menerima permintaan daripadanya. Beliau kemudian akan meneliti dan menilainya atau membeli barang kemas yang disukainya, yang dibayarnya sendiri atau dibayar oleh pihak ketiga.

Firma itu, yang sering membekalkan barang kemas kepada kerabat diraja, jutawan kaya raya dan personaliti terkenal dari seluruh dunia, mendakwa barang kemas yang tidak dipilihnya akan dikembalikan, dan dalam keadaan tertentu, Rosmah hanya meminjam barang kemas itu dan kemudian memulangkannya semula kepada plaintif.

Plaintif juga mendakwa bahawa defendan akan menerima barang kemas secara peribadi melalui kakitangan atau ejen di Kuala Lumpur, Singapura atau Dubai.

Firma itu mendakwa pada 20 Feb tahun ini, ia telah menghantar 44 unit barang kemas kepada defendan termasuk rantai berlian, subang, cincin, gelang dan sebuah tiara, yang setiap satu berharga antara US$124,000 dan US$925,000 menerusi ejen-ejennya.

Plaintif berkata semasa penyerahan itu, defendan telah membuat perakuan terima dan menerima segala terma serta syarat yang dinyatakan dalam Memorandum No. 926 berkaitan barang-barang kemas itu.

Global Royalty mendakwa Rosmah, dalam sepucuk surat bertarikh 22 Mei, juga membuat pengesahan telah menerima barang kemas tersebut, tetapi mendakwa barang kemas tersebut tidak lagi berada dalam simpanannya kerana dirampas dan kini berada dalam simpanan pihak berkuasa Malaysia.

Firma itu mendakwa pada sepanjang masa, plaintif adalah pemilik barang kemas tersebut dan pemilikannya tidak pernah berpindah kepada defendan.

Global Royalty memohon satu deklarasi bahawa ia adalah pemilik yang sah bagi 44 unit barang kemas tersebut, dan satu perintah bagi menyatakan bahawa kepemilikan barang kemas tersebut tidak pernah berpindah kepada defendan.

Ia juga memohon perintah mandatori bagi memerintahkan Rosmah untuk memberikan senarai barang kemas yang dirampas, satu perintah bagi mengarahkan pemulangannya atau, jika tidak, Rosmah wajib membayar harga bagi barang kemas tersebut berjumlah US$14.79 juta (RM59.83 juta).

Rosmah, dalam pernyataan belaan yang difailkannya pada 23 Julai, menafikan telah membeli mana-mana satu daripada 44 unit barang kemas itu dan mendakwa barang kemas itu dihantar kepadanya atas sifatnya selaku isteri kepada Perdana Menteri Malaysia serta atas kerelaan plaintif sendiri dan beliau tidak terikat untuk membelinya.– Bernama

Tiada ulasan: