Ahad, 4 November 2018

ICERD: Sanggupkah kita lihat perkahwinan sesama jantina?

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin 

‘Baru 7 bulan Pakatan Harapan tadbir negara, sudah porak peranda’


KUALA LUMPUR, – Sepanjang Barisan Nasional (BN) memerintah selama 61 tahun, tidak sekali pun terdengar suara hendak meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Namun, baru sahaja tujuh bulan Pakatan Harapan (PH) memerintah negara, ICERD mula diperkenalkan, kata Ketua Pemuda Parti Ikatan Bangsa Malaysia, Shahir Adnan.

Beliau berkata, rakyat perlu tahu dua perkara penting yang akan tergugat sekiranya kerajaan meratifikasi ICERD.

“Perkara 153 akan diperkotak-katikkan. Perlembagaan negara kita akan dirobek. Tidak ada lagi keistimewaan anak anak Melayu, Sabah dan Sarawak.

“Jika menteri agama rujuk artikel 5 ICERD, dia kata ‘Setiap warganegara boleh menukar agama masing-masing. Setiap rakyat di sesebuah negara bakal boleh berkahwin tanpa mengira jantina. 

Adakah tuan-tuan mahu perkara sebegini berlaku?” katanya dalam ucapan berdegar-degar di hadapan dataran Sogo, di sini, hari ini.


Pada masa sama, beliau menegaskan, ICERD sama sekali tidak sesuai dilaksanakan di Malaysia.

“Kerana apa tuan-tuan dari sejak merdeka hingga hari ini kita hidup dengan harmoni. ICERD ini hanya sesuai kepada negara yang melakukan diskriminasi ke atas kaum.

“Adakah Malaysia seperti Myanmar yang menindas Rohingya. Adakah Malaysia seperti Israel menindas rakyat Palestin? Minggu depan raya Deepavali. Semua yang merayakannya boleh sambut, betul? Ini menunjukkan bahawa kita mengamalkan keharmonian dalam negara,” katanya.

Seramai 5,000 peserta hadir, di sini, hari ini bagi menyuarakan bantahan terhadap kerajaan yang mahu meratifikasi ICERD.

Turut hadir, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi, Ketua Pemuda PAS, Khalil Abdul Hadi, Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari, Presiden dan Naib Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS), Muhammad Faizzuddin Mohd Zai serta beberapa perwakilan badan bukan kerajaan (NGO) lain.


Tiada ulasan: