Zina, arak, khazaf antara kesalahan yang boleh dikenakan hukuman sebat
KOTA BHARU
– Setakat ini hanya empat kesalahan Syarie boleh dikenakan hukuman
sebat di negeri ini iaitu melakukan zina, mukadimah zina, minum arak dan
qazaf iaitu menuduh seseorang melakukan zina tanpa membawa empat orang
saksi, kata Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob.
Beliau berkata hukuman bagi kesalahan
berkaitan musahaqah atau lesbian masih lagi denda sebanyak RM500 atau
penjara dan setakat ini masih belum ada pindaan.
Mengikut Seksyen 15, Enakmen Kanun
Jenayah Syariah Kelantan No 2 1985, seseorang perempuan yang dengan
sengaja melakukan musahaqah dengan perempuan yang lain, boleh dikenakan
hukuman denda tidak melebihi RM500 atau penjara tidak melebihi empat
bulan atau kedua-duanya.
“Sehingga kini pindaan yang dibuat adalah
hanya bagi membawa hukuman sebat yang selama ini dijalankan di penjara
ke kawasan luar (terbuka) mungkin di kawasan masjid atau stadium
tertutup.
“Pindaan itu sudah diluluskan di
peringkat kerajaan negeri cuma tarikh sebenar ia akan diwartakan belum
diputuskan lagi,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program
‘Hududullah’ peringkat negeri di sini, hari ini.
Ahmad berkata sejak 1987 hingga 2011,
terdapat 10 kes sebat dijalankan membabitkan 13 pesalah mukadimah zina
serta meminum arak dan hukuman sebat yang dijalankan tidak melebihi enam
sebatan.
“Apa yang penting hukuman yang dijalankan adalah bertujuan mendidik dan bukannya mahu mencederakan pesalah,” katanya. – Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan