Khamis, 20 September 2018

Slogan ‘Johor Bangsat’ penyokong futsal di Sukma tidak patriotik, kata Adun Pulai Sebatang

Taqiuddin Cheman (tiga dari kiri) ketika bersama wakil kontinjen Johor ke Sukma.

Tindakan segelintir penyokong pasukan Futsal Perak yang menyanyikan lagu slogan ‘Johor Bangsat’ dianggap suatu yang tidak patriotik.

Perkara itu telah disuarakan oleh Ahli Dewan Negeri (Adun) Pulai Sebatang, Muhamad Taqiuddin Cheman yang kesal dengan tindakan tersebut.

Menurut beliau, dalam laman Facebook yang bernama ‘J Folks Story’ telah memuat naikkan video berdurasi 24 saat yang dirakam ketika perlawanan Futsal Wanita Sukma di Perak yang mempamerkan penyokong Perak menjerit sambil bernyanyi lagu ‘Johor Bangsat’.

“Tindakan tersebut tidak sepatutnya berlaku dan ia menimbulkan rasa kurang senang bagi pasukan Johor yang sedang berjuang di sana.

“Isu perkauman, kenegerian dan agama adalah suatu perkara yang tidak sepatutnya dipertikaikan. Saya menyeru agar pihak penganjur peka akan perkara ini.

“Kita di bawah satu negara tidak perlu ejek mengejek. Kematangan dalam bersukan perlu diterapkan dengan lebih lagi,” ujar beliau.

Barisan kontinjen yang mewakili Johor ke Sukan Malaysia (Sukma) di Perak.

Katanya yang juga merupakan Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) Negeri Johor itu, sukan adalah sebuah kesatuan dan bukan perpecahan.

Menurut beliau lagi, tindakan perpecahan ini perlu dihentikan dengan segera agar rakyat di negara ini dapat hidup dalam keadaan makmur.

“Sempena bulan kemerdekaan yang baru berlalu ini saya menyeru agar rakyat Malaysia membuang sifat kenegerian di antara kita.

“Jangalah kita fanatik pada suatu perkara sehinggakan kita lupa bahawa kita di bawah satu negara yakni Malaysia,” ujarnya.

Tiada ulasan: