Naib Presiden PKR Shamsul Iskandar Mohd Akin menggesa agar PKR menangguhkan pemilihan parti bagi membolehkan semua anggota menumpukan pada pilihan raya kecil (PRK) Port Dickson.
Shamsul berkata, perkara itu penting bagi menjamin agar tiada pihak dikecualikan dalam kempen PRK berkenaan.
"Saya yakin dan percaya dengan muafakat dalaman PKR ini, akan menghasilkan dampak positif yang lebih baik buat PKR sekaligus menjamin kemenangan selesa Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk kembali ke Dewan Rakyat memimpin agenda reformasi institusi parlimen," katanya.
Pemilihan PKR bagi peringkat cabang dan kebangsaan akan bermula pada 22 Sept dan dijangka berlangsung setiap minggu hingga pertengahan Oktober.
Pemilihan parti itu setakat ini dilihat membahagikan PKR kepada dua kem utama, masing-masing yang dikaitkan dengan Rafizi Ramli atau Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Sementara itu, menurut Danyal Balagobal Abdullah yang meletakkan jawatan sebagai anggota parlimen Port Dickson semalam, dia telah menyatakan hasratnya melakukan perkara itu kepada Rafizi dan Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution.
Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin semalam menyatakan kritikan terhadap pendekatan yang diambil "sesetangah pemimpin PKR yang dangkal" dalam memutuskan untuk mengosongkan kerusi berkenaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan