THE MALAYSIAN TIMES
PETALING JAYA- Menjelang pengundian awal bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia esok, Menteri Pertahanan Mohamad Sabu dijangka turun padang membantu kempen calon Pakatan Harapan (PH) Halimey Abu Bakar malam ini.
Halimey berkata, Mohamad yang juga presiden Parti Amanah Negara (Amanah) akan menyertai ceramah yang bakal diadakan di hadapan Stesen Minyak Petron TTDI Jaya, Shah Alam pukul 9 malam.
“Kehadiran Mohamad diyakini mampu menarik sokongan pengundi awal yang melibatkan 2,770 pengundi terdiri daripada 2,597 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta pasangan dan 173 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya dalam sidang media hariannya di sini, hari ini.
Pada pengundian awal esok, anggota ATM serta pasangan mereka akan mengundi di Dewan Serbaguna Ababil, Pangkalan Udara Subang dekat sini, manakala anggota PDRM pula di Kompleks SMS PDRM di TTDI Jaya.
Pusat pengundian akan dibuka pukul 8 pagi sehingga 5 petang.
Halimey yang juga bekas Anggota Majlis Bandaraya Petaling Jaya, berdepan pertandingan satu lawan satu menentang calon PAS, Dr Halimah Ali pada PRK itu yang diadakan susulan kematian penyandang kerusi DUN Seri Setia, Prof Dr Shaharuddin Badaruddin akibat kanser usus pada 2 Ogos lepas.—Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan