Tan Sri Annuar Musa mendedahkan ramai pemimpin tertinggi UMNO mengadakan pertemuan dengan Tun Dr Mahathir Mohamad secara berkumpulan mahupun individu yang akhirnya diminta meninggalkan parti itu dan menyertai PPBM.
Setiausaha Agung UMNO itu berkata, bagaimanapun ramai pemimpin parti itu memilih untuk terus istiqomah dengan perjuangan UMNO meskipun berdepan pelbagai tekanan.
Annuar berkata, pertemuan itu ada yang diatur oleh pihak ketiga, ada yang dipanggil sendiri oleh Perdana Menteri dan ada juga meminta untuk mengadakan pertemuan.
“Ramai juga pemimpin tertinggi UMNO yang telah bertemu TM (Tun Mahathir). Ada yang berkumpulan dan ada secara berseorangan. Ada yang dijemput,ada yang diatur pihak ketiga dan ada juga yang minta berjumpa.
“Kebanyakan pertemuan membawa naratif yang sama. Lazimnya meminta meninggalkan UMNO, kemudian memperkasakan PPBM.
“TM tentu punya perancangan sendiri. TM seorang strategis dan tajam fikirannya. Kita perlu membaca lebih jauh pemikirannya
Namun kebanyakan pemimpin UMNO cukup istiqamah pendiriannya. Mereka tidak melihat kepada individu tapi parti itu sendiri, UMNO di teruskan.
“Celaan-celaan kebanyakan sudah berada di luar saf, kita sering dengar istillah BAPA PELINGKUP NEGARA…PENYAMUN NEGARA..RASIS…ANTIHADIS..KLEPTOKRAT…BANGSAWAN…dan lain, semuanya sudah di luar,” tulis Annuar di Facebooknya, Rabu malam.
Sebelum itu dua pemimpin UMNO iaitu, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Datuk Seri Anifah Aman bertindak meninggalkan UMNO secara mengejut.
Mustapa memberi alasan perjuangan UMNO sudah tidak selari dengan perjuangannya, manakala Anifah menjadikan alasan beliau memperjuangkan hak Sabah sebagai punca peletakan jawatan.
Sementara itu Annuar berkata, UMNO kembali kepada asas dalam serba kekurangan dan ditindas serta ditekan.
“UMNO kembali pada ‘basic’ parti yang kini dimiskinkan…ditindas dan ditekan, diugut, diumpan, dicela, dihina, ditinggalkan. Namun ramai yang kejab iman dan pegangan,tidak goyang dan TETAP BERSAMA UMNO,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan