Isnin, 10 September 2018

KOSONG KERUSI : TIAN CHUA TAK TERLIBAT BINCANG

Wartawan Watan-Online
 



Naib Presiden PKR, Tian Chua tidak terlibat dalam perbincangan mengenai cadangan pengosongan kerusi parlimen bagi membolehkan Presiden parti Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding bagi menjadi anggota Dewan Rakyat.

“Bukan semua perkara dalam PKR kita maklumkan kepada beliau (Tian Chua),” demikian respon Rafizi Ramli.

Rafizi yang juga Naib Presiden PKR itu berkata, beliau menganggap kenyataan bekas Ahli Parlimen Batu itu sebagai pandangan peribadi.

“Itu adalah pandangan peribadi beliau dan saya hormati. Kalau nak tanya mengenai komen beliau, saya tidak pasti kenapa Tian Chua mengeluarkan kenyataan seperti itu.

“Berkaitan keputusan ini (pengosongan kerusi Parlimen), mungkin Tian Chua sebagai Naib Presiden, merasa janggal apabila beliau tidak terbabit secara langsung dalam perbincangan ini…saya akui, ada perkara kita babitkan semua pimpinan dan ada perkara hanya dibincangkan antara Anwar, Wan Azizah dan saya sahaja,” katanya di Kuantan, Ahad malam.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Majlis #Reformasi20Tahun di Kompleks Dagangan Mahkota, dekat sini, malam tadi.

Hadir sama, Ahli Parlimen Kuantan yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Fuziah Salleh dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu, Lee Chean Chun.

Sementara itu, Rafizi berkata PKR sudah mengambil kira pelbagai faktor sebelum mengambil keputusan mengosongkan kerusi Parlimen untuk memberi laluan kepada Anwar.

Calon Timbalan Presiden PKR itu berkata, walaupun peratusan keluar mengundi pada tiga pilihan raya kecil (PRK) sebelum ini sangat rendah, namun ia tidak menggambarkan mood semasa rakyat secara keseluruhan.

“Memang kalau kita tengok peratusan (keluar mengundi) pada PRK DUN Sungai Kandis, Seri Setia dan Balakong, ia sangat rendah dan mungkin ada kesan jika diadakan satu lagi (PRK).

“Namun, ia adalah keputusan yang dipersetujui semua, termasuk Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail dan penyandang kerusi Parlimen berkenaan…perancangan (mengosongkan kerusi Parlimen) ini dibuat sebelum Pilihanraya Umum ke-14 (PRU-14) dan ia sudah diketahui individu terbabit.

“Walaupun kita nampak mood rakyat ketika ini tidak seperti PRU-14 lalu, PKR ada alasan untuk mempercepatkan proses (pengosongan kerusi Parlimen) dan antara faktor yang paling utama ialah keputusan ini dilakukan bagi memastikan proses reformasi institusi Parlimen dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan,” katanya.


Tiada ulasan: