Jumaat, 7 September 2018

Keputusan PRK Seri Setia dijangka sebelum 9 malam esok

Rahimah Abdullah, Astro Awani
Keputusan PRK Seri Setia dijangka sebelum 9 malam esok
Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Othman Mahmood berkata, keputusan itu disasarkan lebih awal berbanding semasa PRK Sungai Kandis sebelum ini. - Foto Astro AWANI/Rahimah Abdullah
 
PETALING JAYA: Keputusan rasmi Pilihan Raya Kecil DUN N.32 Seri Setia dijangka diketahui sebelum jam 9 malam esok.

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Othman Mahmood berkata, keputusan itu disasarkan lebih awal berbanding semasa PRK Sungai Kandis sebelum ini.

“Semasa di Sungai Kandis kita dapat umumkan jam 9.30 malam. Kita sasarkan lebih awal daripada itu. Sebelum pukul 9 malam esok kita cuba umumkan keputusan,” katanya dalam satu sidang media semasa taklimat SPR menjelang PRK Seri Setia di Dewan Sivil MBPJ di sini hari ini.

Bagaimanapun, pengumuman keputusan pilihanraya kecil itu bergantung kepada keadaan dan perkara tertentu.

“Namun, ia tertakluk kepada keadaan dan mungkin perkara-perkara terlibat. Kalau tiada masalah akan cepat (keputusan). Kalau ada masalah kita tunggulah, tetapi kena umum juga paling awal jam 10 malam,” ujar beliau lagi.

Jelas beliau, kelemahan di PRK Sungai Kandis menyebabkan SPR melakukan penambahbaikan termasuk tambahan kumpulan petugas semakan dan peralatan komputer data.

Dalam pada itu, SPR belum menerima sebarang laporan rasmi berhubung kesalahan piliharaya sepanjang kempen 21 hari PRK Seri Setia.

“Setakat ini tiada laporan rasmi dibuat kepada SPR. Kalau dibuat secara rasmi pihak penguat kuasa kita akan mengambil tindakan,” katanya lagi.

SPR menyediakan seramai 903 petugas pada PRK Seri Setia.

PRK Seri Setia bakal menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara capon Pakatan Harapan (PH), bekas Ahli Majlis MBPJ, Halimey Abu Bakar, manakala Pas menampilkan Dr Halimah Ali.

PRK Seri Setia diadakan selepas kematian penyandangnya, Prof Dr Shaharuddin Badaruddin 2 Ogos lalu.

Tiada ulasan: