Khamis, 6 September 2018

Kabinet: Hukuman sebat beri gambaran buruk terhadap Islam

MALAYSIAKINI

   

Mesyuarat kabinet memutuskan hukuman sebat di khalayak ramai terhadap dua wanita oleh Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu baru-baru ini tidak mencerminkan keadilan, malah memberikan gambaran buruk terhadap Islam.

"Pihak kabinet berpendapat bahawa ini tidak mencerminkan keadilan dan timbang rasa oleh agama Islam.

"Sebaliknya kita tahu bahawa ini adalah kes pertama bagi mereka dan biasanya dalam kes pertama kita perlu memberi nasihat dan tidak seterusnya melakukan (hukuman) sebat sehingga diketahui oleh seluruh negara.

"Ini memberi gambaran yang buruk kepada agama Islam.

"Sebab itu kami berpendapat bahawa, kalaupun ada kes-kes yang semacam ini, pertimbangan hendaklah diberi kepada keadaan tertentu, yang mana dalam Islam kita boleh menjatuhkan hukum yang lebih ringan sementara kita memberi nasihat dan sebagainya," jelas kerajaan dalam kenyataannya hari ini.

Mahkamah Tinggi Syariah pada 3 September lalu menjatuhkan hukuman sebat terhadap dua wanita yang dipercayai melakukan hubungan sesama jenis.

Hukuman itu yang dijalankan di bilik mahkamah Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu adalah yang pertama kali berlaku di negara ini, disaksikan lebih 100 orang termasuk pengamal media, keluarga dan peguam syarie.

Hukuman tersebut mendapat reaksi daripada pelbagai pihak - ada yang menyokong dan menentang pelaksanaan undang-undang tersebut.

'Jangan tunjuk Islam agama bengis'

Menurut kabinet amat penting agama Islam tidak ditunjukkan sebagai agama yang 'bengis, suka menjatuhkan hukuman berat serta mengaibkan orang'.

"Ini bukan cara-cara yang digalakkan oleh agama Islam.

"Ini adalah pendapat kabinet Kerajaan dan kami harap kita berhati-hati dalam mempamerkan Islam sebagai agama yang tidak ada tolak ansur, tidak ada bertimbang rasa.

"Sedangkan kita selalu apabila memulakan sesuatu dengan “Bismillahirrahmanirrahim”, dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani tetapi kita tunjuk seolah-seolah dalam Islam ini tidak ada perasaan pemurah sama sekali," jelasnya.

Menteri Undang-undang Datuk Liew Vui Keong sebelum ini berkata kerajaan persekutuan tidak boleh campur tangan dalam soal undang-undang syariah di negeri itu walaupun dianggap tidak selari dengan hak asasi manusia.


Tiada ulasan: