Ahad, 2 September 2018

Guan Eng: Senarai barangan SST dipinda hujung tahun

Bernama
 
Lim Guan Eng berkata, ada beberapa barangan atau makanan yang sepatutnya tidak dikenakan SST disenaraikan sebagai barangan dikenakan cukai kerana ia diletakkan dalam kelompok sama.



BUTTERWORTH: Kerajaan akan mengkaji semula senarai barangan yang dikenakan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dan pindaan senarai itu akan dibuat hujung tahun ini.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, pihaknya akan mendapatkan maklum balas dan pandangan rakyat berhubung senarai itu dan kajian akan dibuat sama ada barangan lain perlu dikenakan SST.

“Senarai penuh sudah dimuat naik, tapi kita perlu buat pindaan. Seperti yang saya sebut tadi, kita kena laksanakan (SST) pada 1 September. Saya tidak ada pilihan, kalau ada masa kita nak bagi sikit masa kerana kalau kita tak laksanakan pada 1 September, kita dalam keadaan defisit.

“Selepas kita dapat pandangan daripada orang ramai dan mereka buat permintaan, sebagai sebuah kerajaan yang prihatin dan dengar pandangan rakyat, kita mesti ambil tindakan sewajarnya.

“Jadi, kita akan buat lagi pindaan (senarai barangan), saya harap semua boleh bersabar,” katanya selepas taklimat pelaksanaan SST bersama menteri kewangan, di sini, hari ini.

Beliau berkata, ada beberapa barangan atau makanan yang sepatutnya tidak dikenakan SST disenaraikan sebagai barangan dikenakan cukai kerana ia diletakkan dalam kelompok sama.

“Masalahnya ialah semua jenis makanan import, iaitu makanan laut import seperti abalone dan sebagainya harus dikenakan, tapi kerana udang dilonggokkan dalam kumpulan sama, itu kita kena buat pindaan.

“Kalau abalone mesti kena (cukai), yang lain-lain kita akan kaji dan kita akan lihat adakah kita akan kurangkan atau buat lebih daripada itu.”

Ahli Parlimen Bagan itu mengakui ada kekeliruan berhubung pelaksanaan SST daripada pengguna yang tidak mengetahui sistem percukaian terbaru itu.

Sebagai contoh, beliau berkata, terdapat rungutan pengguna yang makan di premis makanan dan restoran seperti restoran nasi kandar yang mengenakan cukai perkhidmatan 6%.

Beliau berkata, menerusi pelaksanaan SST, kerajaan menaikkan nilai ambang kepada RM1.5 juta setahun bagi jualan restoran berbanding RM500,000 yang ditetapkan dalam GST dan restoran yang memperoleh jualan melebihi jumlah itu perlu mengenakan cukai perkhidmatan 6%.

“Di sini, saya harap pelanggan boleh faham mengapa ada (restoran) yang tidak perlu kutip (SST) dan ada yang kutip. Jangan salahkan pemilik restoran, mereka hanya jalankan tanggungjawab sebagai seorang peniaga yang bertanggungjawab, iaitu mematuhi undang-undang.

“Saya juga ingin tegaskan kalau ada ‘service charge’, iaitu fi perkhidmatan itu bukan cukai. Itu ialah fi yang mereka bagi kepada pelayan-pelayan mereka. Dulu GST dikenakan ke atas ‘service charge’, tapi di bawah SST kita tidak kenakan, harap mereka jelas.”

Pengguna kad prabayar dapat rebat 6%

Dalam pada itu, Lim memberi jaminan kepada pembeli kad prabayar mereka akan menerima jumlah penuh sekiranya mereka tambah nilai kad prabayar telefon bimbit.

“Kami telah keluarkan arahan kita nak pastikan yang beli kad prabayar RM10 mereka akan dapat RM10. Cukai perkhidmatan 6% akan dikredit balik kerana mereka sudah set dalam sistem cukai perkhidmatan.

“Itu masalah teknikal yang tidak sepatutnya berlaku, tetapi telah berlaku dan kita akan ‘rebate’ balik akhirnya pembeli akan dapat nilai yang sama. Jadi, janganlah terperangkap dengan pihak yang menghasut dapat kurang daripada RM10. Ini tidak akan berlaku.”

Tiada ulasan: