Ahad, 16 September 2018

Anwar: PKR akan pecat 2 ahli, jika terbukti rasuah

Anwar Ibrahim berkata, tiada simpati untuk ahli PKR yang terbabit 
dalam politik wang.
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim berjanji akan memecat 2 ahli PKR yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), jika terbukti mereka terbabit dalam politik wang pada pemilihan parti di Kedah.

“Saya akan kemukakan usul untuk memecat mereka sebagai ahli PKR.

“Itu adalah pandangan tegas kerajaan Pakatan Harapan untuk 2 lelaki ini, jika terbukti mereka bersalah,” katanya dalam Dialog Anak Muda bersamanya di sini, hari ini.

SPRM menahan 2 lelaki berusia 46 dan 48 tahun di Plaza Tol Pendang serta sebuah restoran di Alor Setar semalam. Mereka berdua kemudiannya direman 6 hari bagi membantu siasatan kes berkaitan rasuah RM20,000.

Dua suspek yang menganggotai Sekretariat Jawatankuasa Pemilihan PKR itu disyaki meminta suapan daripada seorang lelaki untuk mengelakkan namanya digugurkan daripada senarai calon jawatan ketua cabang dalam pemilihan parti tahun ini.

Ditanya mengenai saingan dalam pemilihan PKR tahun ini, Anwar berkata, semua calon perlu menghormati hak bersuara dan bertanding pihak lawan.

“Apabila orang tanya siapa yang hendak dipilih, saya akan kata pilih yang terbaik, pilih mereka yang berprinsip, pilih mereka yang mempertahankan idealisme perjuangan kita.

“Jangan pilih mereka yang sombong. Jangan pilih mereka yang menggunakan kuasa untuk mengugut orang atau membeli undi.”

LIHAT VIDEO DI SINI

Tiada ulasan: