KUALA LUMPUR – Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor
Rashid Ibrahim berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan dapat
menyelesaikan siasatan terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB)
dalam masa setahun.
PDRM, ujarnya, telah mendapatkan kerjasama daripada
beberapa negara bagi mendapatkan maklumat dan dokumen mengenai transaksi
yang dibuat ke atas syarikat itu di luar negara.
“Bukan kita tambah masa siasatan, kita ada jangka masa
setahun di bawah undang-undang dan semua itu akan berakhir Mei depan,
kita buat yang terbaik untuk selesaikan siasatan ini dalam masa yang
perlu, kita tunggu kerjasama undang-undang daripada negara luar.
“Kita kena selesaikan siasatan dan keputusan akan dibuat
selepas itu kita terbuka dengan tindakan undang-undang. Jangan risau
kita akan selesaikan dalam masa setahun,” katanya dalam sidang media
mengenai perkembangan isu siasatan 1MDB di Bukit Aman hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan media
mengenai gesaan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bahawa
pihak berkuasa harus menyerahkan semula semua barangan yang disita dari
beberapa rumah yang dikaitkan dengan beliau.
Katanya, berdasarkan undang-undang, aset itu perlu dipulangkan selepas tiada pendakwaan dibuat dalam tempoh tiga bulan.
Menjawab perkara itu, Noor Rashid berkata, di bawah
peruntukan Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan
Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 (AMLA) memperuntukkan bahawa
pihak berkuasa mempunyai tempoh masa sehinga setahun untuk membuat
siasatan.
“Penyitaan ke atas barangan itu adalah berdasarkan
wujudnya alasan yang munasabah dan disyaki bahawa barangan ini adalah
hasil daripada perolehan wang haram untuk kes 1MDB,” katanya lagi. –
MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan