Isnin, 16 Julai 2018

Tindakan pembangkang keluar Dewan hanya ‘lakonan’

THE MALAYSIAN TIMES
 


KUALA LUMPUR: Tindakan anggota Parlimen pembangkang yang keluar dewan ketika bermulanya proses pelantikan Yang Dipertua Dewan Rakyat yang baharu hari ini dilihat bertujuan meraih perhatian semata-mata, kata anggota Parlimen kerajaan.

Anggota Parlimen Seremban Anthony Loke Siew Fook berkata tindakan oleh hampir kesemua anggota Parlimen BN dan PAS pagi ini dilihat sebagai lakonan bagi mendapatkan publisiti daripada pihak media.

“Mereka (pembangkang) bersungguh-sungguh memboikot semasa upacara pelantikan berkenaan tetapi kemudiannya mereka masuk kembali untuk mengangkat sumpah. Pada saya ia hanya lakonan untuk menarik perhatian media sahaja,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini, hari ini.

Anggota Parlimen BN dan PAS bertindak keluar dewan pada awal persidangan Dewan Rakyat selepas mempertikai proses pelantikan Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Hanya anggota Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin dan Anggota Parlimen Kimanis Datuk Seri Anifah Aman sahaja yang kekal dalam dewan semasa anggota pembangkang yang lain bertindak keluar dewan.

Bagaimanapun, selepas bekas hakim Datuk Mohamad Ariff Yusof diumum sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat yang kesembilan, kesemua anggota Parlimen pembangkang itu masuk semula ke dalam dewan untuk mengangkat sumpah jawatan masing-masing.

Sementara itu, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia (KKM) Eddin Syazlee Shith, yang juga Anggota Parlimen Kuala Pilah, berkata beliau tidak terkejut dengan tindakan pihak pembangkang yang mempersoalkan lantikan Mohamad Ariff.

Menurutnya, proses lantikan Mohamad Ariff sebenarnya sudah diduga dan ia sudah diperkatakan sebelum majlis angkat sumpah berlangsung hari ini.

“Mengambil maklum Setiausaha Dewan Rakyat Datuk Rosmee Hamzah menjelaskan bahawa menerusi surat bertarikh (2 Julai 2018), kalau diikutkan sampai hari ini sudah cukup 14 hari.

Pihak pembangkang tidak kemukakan sebarang notis meletakkan mana-mana calon mereka, saya lihat itu agenda untuk melengahkan masa,” katanya.

Anggota Parlimen Pulai Salahuddin Ayub pula menganggap tindakan pembangkang itu sebagai warna-warna demokrasi yang sentiasa subur di negara ini.

“Saya dah biasa dengan semua ini, hak demokrasi masing-masing sama ada mahu keluar atau masuk (dewan) selagi ia tidak bercanggah dengan peraturan dewan dan tidak beri tekanan kepada negara.

“Biarkanlah saja mereka tunjuk rasa tidak puas hati. Bagi saya biasa sahaja, tidak ada istimewanya atau pelik bagi saya,” jelasnya yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani.

Anggota Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin pula berkata tindakan pembangkang itu sepatutnya tidak wajar berlaku kerana kerajaan sudah pasti mengikut apa yang terkandung dalam peraturan dan perlembagaan dalam membuat perlantikan Yang Dipertua Dewan Rakyat.– Bernama

Tiada ulasan: