Sabtu, 21 Julai 2018

Tiada lagi Pati mulai 31 Ogos?


Mustafar Ali
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia Datuk Seri Mustafar Ali (berdiri,dua, kanan) turut turun padang pada Ops Mega 3.0 di sebuah tapak pembinaan di Gambang malam ini. - Foto Bernama
 
 
KUANTAN - Jabatan Imigresen berikrar 'memerdekakan' negara daripada pendatang asing tanpa izin (Pati) bermula 31 Ogos depan.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, pihaknya akan mempergiatkan operasi menahan Pati mulai tengah malam pada tarikh tersebut.

Beliau berkata, Pati yang ditangkap termasuk majikan terbabit tidak akan diberi ‘muka’ dan perlu berhadapan tindakan undang-undang kerana Imigresen sudah memberi peluang secukupnya kepada mereka.

"Kita memulakan Program Serah Diri Sukarela yang dikenali sebagai 3+1 untuk pendatang asing ini tampil membayar denda dan diusir pulang ke negara asal.

"Jadi mereka masih berpeluang untuk menyerah diri sehingga 30 Ogos sebelum kita mengambil pendekatan lebih tegas," katanya selepas menyertai Op Mega di dua tapak pembinaan di Jalan Gambang di sini, hari ini.

Mustafar berkata setakat ini, Op Mega dilaksanakan di seluruh negara bermula 1 Julai lalu telah menahan lebih 3,000 Pati atas pelbagai kesalahan.

[ARTIKEL BERKAITAN: Rakyat Malaysia tanggung pendatang haram!]

Selain kesalahan tidak mempunyai permit bekerja yang sah, beliau berkata ada antara mereka mempunyai permit kerja dengan majikan berbeza kerana melarikan diri daripada majikan asal.

Mengulas mengenai operasi di Jalan Gambang itu, Mustafar memaklumkan 84 pendatang asing itu adalah dalam lingkungan empat hingga 60 tahun, dan terdiri daripada warga Indonesia, Bangladesh serta Myanmar.

Mustafar berkata pihaknya juga berharap Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dapat membantu Imigresen dalam soal berkaitan penempatan pendatang asing, yang disifatkan tidak kondusif dalam soal kebersihan.

[ARTIKEL BERKAITAN: Sampai bila mahu tanggung Pati?]

"Penempatan mereka kebanyakannya  dibina dalam keadaan tidak mempunyai sistem pembuangan sampah teratur, sistem saliran dan tandas yang tidak baik, serta berisiko penularan penyakit.

"Sedangkan isu berkaitan kesihatan merupakan keutamaan negara sehingga mana-mana warga asing yang mahu bekerja di negara ini perlu mematuhi semua syarat kesihatan sebelum diberikan permit," katanya.

Mustafar berkata kewujudan penempatan haram pendatang asing itu juga boleh menimbulkan keresahan terhadap warga tempatan, terutamanya yang dibina berhampiran kawasan perumahan

Tiada ulasan: