Malaysia Corruption Watch (MCW) mengucapkan tahniah kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas kejayaan melengkapkan siasatan dan melakukan pendakwaan terhadap Datuk Seri Najib Razak.
Presidennya, Haji Jais Abdul Karim berkata, pihaknya akan mengikuti rapat perkembangan kes ini dalam memastikan keadilan dicapai dengan sebaiknya.
“Mewakili pelbagai lapisan rakyat Malaysia, kami ingin melihat perbicaraan kes ini dapat dijalankan dengan sempurna dan kebenaran dapat ditegakkan.
“MCW berpendapat bahawa keadilan dalam kes ini bukan sahaja dicapai melalui kebenaran tetapi juga dengan mengikuti proses perundangan yang telah ditetapkan. Oleh itu, demi menjaga kedaulatan undang-undang tanah air ini, institusi penguatkuasaan mestilah menggunakan prosedur yang tepat ketika mendapatkan keterangan dan bahan bukti kerana dunia luar sedang memerhati kita.
“Kita juga mesti memastikan bahawa institusi kehakiman Malaysia adalah benar-benar bebas dan senantiasa mengambil kira kesemua perkara yang perlu dalam proses pendakwaan supaya institusi perundangan kita tidak dipersoal di kemudian hari,” kata beliau baru-baru ini.
Jelas Jais, MCW amat tertarik untuk memerhati dengan teliti kes ini kerana Datuk Seri Najib Tun Razak adalah merupakan bekas ketua parti lawan kepada parti pemerintah sekarang iaitu Kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Katanya lagi, MCW amat berharap Kerajaan PH tidak akan menggunakan sebarang pengaruh atau pun mengambil tindakan yang boleh mengganggu proses perbicaraan dan kebebasan mahkamah dalam membuat keputusan.
“MCW akan membuat permohonan menghantar ‘Peguam Pemerhati’ untuk kes ini bagi memerhati dan mengambil maklum perjalanan perbicaraan kes ini. Hal ini amat penting dalam melihat dan menilai proses perundangan serta menyaksikan ujian terhadap ketelusan dan integriti ‘Rule of Law’ Malaysia yang baharu.
“Kami berpendapat, pendakwaan yang dilakukan hari ini adalah amat rasional dan penting untuk seluruh rakyat Malaysia yang mahukan jawapan yang sebenar iaitu sebuah kebenaran yang hakiki serta bukan lagi sebuah persepsi yang menjadi senjata politik pihak tertentu,” kata beliau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan