Khamis, 19 Julai 2018

Mahathir umum HSR mungkin ditangguh bukan batal



Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini memberitahu projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) antara Kuala Lumpur dan Singapura akan ditangguh setelah melihat situasi ekonomi negara.

Beliau mengakui Malaysia tiada dana untuk membayar pampasan yang besar kepada negara jiran jika projek itu dibatalkan.

Walau bagaimanapun, katanya, penangguhan projek yang dimeterai kerajaan terdahulu pada 19 Julai 2016 itu boleh dibuat.

“Kita tidak boleh katakan tidak mengenai pampasan berkaitan HSR, tetapi pada masa ini kita tidak ada dana.

“Jadi kita perlu tangguhkan perlaksanaannya dahulu,” katanya kepada pemberita di Parlimen.

Dr Mahathir ditanya berkaitan reaksi Menteri Pengangkutan Singapura Khaw Boon yang mendakwa masih menunggu jawapan balas rasmi daripada Malaysia berhubung projek HSR.

Khaw berkata, kenyataan awam Mahathir melalui pelbagai temubual berhubung penamatan projek berkenaan, “tidak disusuli dengan sebarang komunikasi rasmi dengan kami.”

Sehubungan itu, Mahathir berkata, rundingan semula dengan Singapura akan dilakukan dalam masa terdekat diwakili Menteri Ekonomi Datuk Seri Mohamad Azmin Ali.

“Ya, Singapura mahu tahu apakah status dan pendirian kita dalam isu berkenaan. Pada masa ini bila kita lihat situasi kewangan negara, kita dapati kita tidak boleh laksanakan.

“Kita perlu kaji implikasinya, kaji dahulu kontrak dan kos projek itu. Kita terpaksa tangguhkan sementara atau mengurangkan kos projek berkenaan. Tetapi sedikit sukar mengurangkan harga,” jelasnya.

Pada 28 Mei lalu, Mahathir memberitahu keputusan untuk membatalkan HSR adalah muktamad walaupun berisiko menanggung pampasan sebanyak RM500 juta.

Sukar dimiliki 

Untuk rekod, projek HSR menghubungkan lapan stesen iaitu Kuala Lumpur, Putrajaya, Seremban, Ayer Keroh, Muar, Batu Pahat, Iskandar Puteri dan Jurong East di Singapura.

Projek yang mempunyai dua laluan bertentangan sejauh 350 kilometer iaitu 335 kilometer di Malaysia dan 15 kilometer di Singapura dijangka akan memendekkan tempoh perjalanan antara KL dengan Singapura sekitar 90 minit.



HSR dilihat lebih memberi keuntungan kepada ekspatriat Singapura.

Walau bagaimanapun, cadangan membina stesen transit HSR di Kampung Datuk Abu Bakar Baginda di Sepang bersebelahan Presint 14, Putrajaya dilihat mengancam masa depan Tanah Rizab Melayu termasuk lokasi di sepanjang jajaran projek itu.

Kos perancangan HSR dianggar sekitar RM100 bilion walaupun bekas Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak mendakwa hanya sekitar RM72 bilion.

Wujud pelbagai pandangan sebelum ini berhubung projek HSR antaranya menganggap bukan satu projek kepentingan nasional sebaliknya hanya lebih kepada kepentingan kumpulan elit dan ekspatriat Singapura.

Nilai hartanah di sepanjang jajaran HSR itu juga dijangka meningkat berkali ganda tetapi semakin sukar dimiliki rakyat tempatan disebabkan pola pembelian hartanah daripada elit Singapura terbabit.

Pada masa sama, hasil negara juga dijangka terjejas apabila Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kehilangan sebahagian pengguna antarabangsa kerana ramai pelancong hanya memilih untuk terbang melalui Lapangan Terbang Changi, Singapura.

Tiada ulasan: