Khamis, 19 Julai 2018

Lebuh Raya Pan Borneo: Saya hormat kontrak ditandatangani - Baru Bian

Rohana Wahed, Astro Awani
Lebuh Raya Pan Borneo: Saya hormat kontrak ditandatangani - Baru Bian
Lebuhraya Pan Borneo adalah rangkaian laluan persekutuan yang menghubungkan Sarawak, Brunei, Sabah. Ia antara projek infrastuktur terbesar negara, sebahagian daripada manifesto BN pada PRU13. Fasa satu projek dijangka siap 31 Dis 2021. --fotoBERNAMA
 
 
KUCHING: 'Sebagai peguam, saya menghormati kontrak yang telah ditandatangani sebelum ini.'

Demikian penjelasan Menteri Kerja Raya yang baharu, Baru Bian, berhubung status pakej-pakej projek Lebuh Raya Pan Borneo yang kini sedang giat dilaksanakan.

Tegasnya, pihaknya malah akan memastikan projek-projek tersebut siap dilaksanakan mengikut jadual.

"Saya dimaklumkan, fasa pertama projek ini telah dianugerahkan kepada kontraktor. Bagi saya, sebagai seorang peguam, kontrak yang telah ditandatangani secara rasmi hendaklah dihormati.

"Beberapa pakej di bawah fasa pertama projek Pan Borneo telah pun diberi dan kini sedang dilaksanakan," katanya, menjawab teka-teki pihak-pihak yang terlibat dalam projek itu berhubung status mereka selepas Pakatan Harapan menerajui pemerintahan kerajaan persekutuan.

Sebelum ini, kerja-kerja pembinaan 11 pakej lebuh raya ini di Sarawak diurus Lebuhraya Borneo Utara Sdn Bhd, dengan jumlah peruntukan RM16.49 bilion.

Manakala 35 pakej bernilai RM12.8 bilion di Sabah ditangani Sabah Pan Borneo.

Dalam sidang media itu, Baru bagaimanapun memberitahu, pihaknya sedang mengkaji status fasa

kedua projek, terutama dari aspek terma dan syaratnya.

Sementara itu, menyentuh isu projek sekolah daif di seluruh Sarawak, Baru yakin kaedah Sistem Binaan Bersepadu (IBS) yang dicadangkan sebelum ini adalah yang terbaik.

Berbanding di Semenanjung, projek tersebut berhadapan kelewatan di Sarawak berikutan wujudnya isu bekalan komponen IBS dan lojistik.

"Saya difahamkan, di Sarawak ini kita berhadapan masalah dengan pengeluar bahan itu sendiri. Kita gagal menghasilkan komponen material yang lengkap untuk membina sekolah. Inilah yang mencetuskan masalah," tambahnya.

Sebelum ini, sebanyak 415 sekolah di Sarawak telah dikategorikan sebagai D3 atau amat daif manakala 605 buah sekolah lagi dalam kategori D2 dan D1.

Baru ditemui pada sidang media khasnya di sini hari ini. Beliau dilantik sebagai Menteri Kerja Raya pada 2 Julai lalu, menggantikan Datuk Seri Fadillah Yusof.

Tiada ulasan: