Sabtu, 21 Julai 2018

Kes penerjun negara saman Utusan bermula 26 Nov


Saman yang difailkan oleh seorang penerjun negara terhadap Utusan Malaysia yang didakwa menyiarkan artikel berunsur fitnah terhadapnya akan dibicarakan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mulai 26 hingga 30 Nov.

Tarikh itu ditetapkan oleh Hakim Datuk Mohd Zaki Abdul Wahab turut menetapkan 28 Ogos ini bagi pengurusan kes.

Plaintif dalam pernyataan tuntutan bertarikh 1 Mac lalu mendakwa, artikel yang disiarkan di Utusan Malaysia membawa maksud, dia telah dirogol dan terlibat dalam doping atau pengambilan dadah.

Katanya, penyiaran artikel berkenaan menyebabkan maruah diri dan keluarganya terjejas,
menanggung malu, mengalami kesusahan, tertekan semasa menghadiri latihan dan menjejaskan prestasi kerjayanya selain mencemarkan maruah nama baik negara.

Pihak plaintif juga mendakwa, secara alternatif Utusan yang dinamakan sebagai pihak defendan telah dengan niat jahat menerbitkan artikel yang mengandungi innuendo (kiasan) yang membawa maksud dirinya seorang penerjun yang tidak jujur, tidak bermoral, tidak profesional dan terlibat dalam penggunaan dadah.

Atlet remaja itu sehubungan itu memohon perintah injunksi, ganti rugi am, ganti rugi khas dan ganti rugi teladan daripada pihak defendan.


Tiada ulasan: