Selasa, 17 Julai 2018

Batal hasrat ke Parlimen


Himpunan tak jadi ke Parlimen
Perarakan Himpunan taat setia ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
 
 
KUALA LUMPUR - Perarakan Himpunan  taat setia ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang dijadualkan akan bergerak ke Parlimen dibatalkan oleh penganjur.

Menurut penganjur dan juga merupakan Pemantau Kerajaan Malaysia Baharu, Datuk Lokman Noor Adam beliau akur dengan arahan polis agar perarakan himpunan tidak diteruskan ke Parlimen.

Katanya, beliau faham arahan itu kerana mendakwa sekatan itu dibuat pihak polis atas arahan Tun Dr Mahathir.

“Kita dah cuba nak berhimpun dihalang polis, yang mana saya tahu mereka hanya jalankan tugas. Polis hanya dengar arahan daripada Mahathir.

“Nampak sangat Tun M takut, mereka sebenarnya (kerajaan) nak kita gempur, kali ini kita akur,” katanya semasa berucap dihadapan perserta yang hadir.

Lokman berkata, pihaknya akur dan turut mengarahkan peserta bersurai secara aman tanpa melakukan sebarang provokasi.

“Saya minta selepas ini kita minum,lepas ini kita minum kita beredar secara baik

“Jangan bertempur dengan polis. Kita hari ini hanya nak pertahankan apa ada dalam perlembagaan, jangan kita dilabel sebagai rasis dan ganas,” katanya yang mula berkumpul sejak jam 8.30 pagi dan mula beredar jam 10 pagi.

Himpunan itu diadakan di lot parkir bukit Aman sebelum dijadualkan bergerak ke Parlimen.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V hari ini akan merasmikan serentak Persidangan Penggal Pertama Parlimen ke-14 Dewan Rakyat dan Dewan Negara selepas pilihan raya umum ke-14 yang menyaksikan Pakatan Harapan membentuk kerajaan baharu.

Persidangan itu bermula semalam apabila Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan perlantikkan  bekas hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohamad Ariff Md Yunos sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Dr Mahathir turut mengetui istiadat mengangkat sumpah ahli parlimen dan kesemua 220 Ahli Dewan Rakyat mengangkat sumpah kecuali 2  termasuk Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Ahli Parlimen Pagoh, yang bercuti sakit selepas menjalani pembedahan membuang ketumbuhan pada pankreas baru-baru ini.

Persidangan Dewan Rakyat akan berlangsung selama 20 hari hingga 16 Ogos.

Tiada ulasan: