Isnin, 23 April 2018

Zulhasnan, Yew ‘kembali’ bertarung di gelanggang PRU 14

THE MALAYSIAN TIMES
 


KUALA LUMPUR :  Bagai sirih pulang ke gagang. Dua calon Barisan Nasional (BN) Wilayah Persekutuan kembali ke gelanggang pilihan raya umum (PRU) untuk bertanding kerusi Parlimen yang pernah mereka wakili sebelum ini.

Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat Tan Sri Zulhasnan Rafique dan Pengerusi MCA Wilayah Persekutuan Datuk Seri Yew Teong Look merupakan ‘muka lama’ yang diumumkan sebagai calon BN pada PRU ke-14 (PRU14), yang masing-masing akan  bertanding di Parlimen Setiawangsa dan Wangsa Maju.

Zulhasnan ketika ditemui wartawan selepas pengumuman itu berkata, beliau akan menggunakan kelebihannya sebagai penduduk Setiawangsa selama lebih 20 tahun untuk memenangi PRU14.

“Selama lima tahun kebelakangan ini, walaupun saya tidak menjadi wakil rakyat, saya sentiasa turun padang atas platform Yayasan Amal Wangsa serta platform UMNO dan BN.

“Walaupun calon pembangkang terdiri daripada orang muda namun saya yakin ramai penduduk Setiawangsa sudah kenal saya, rumah saya juga di Setiawangsa,” katanya, sambil menambah calon setempat lebih berpotensi untuk menang.

Beliau yang masih berkhidmat sebagai Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat sejak 2016  berkata akan meletakkan jawatannya itu selewat-lewatnya Selasa ini selepas menerima watikah sebagai calon BN Setiawangsa.

Zulhasnan pernah mewakili Parlimen Setiawangsa selama dua penggal selepas memenangi kerusi itu pada PRU11 dan  PRU12.

Sementara itu, Yeow yang pernah memenangi kerusi Parlimen Wangsa Maju pada PRU11 pada 2004 berkata beliau yakin usahanya membantu penduduk Wangsa Maju tanpa mengira kaum akan dapat merampas kembali kerusi itu daripada PKR pada PRU14.

Image result for YEW TEONG LOOK
Datuk Seri Yew Teong Look

Bagaimanapun pada PRU12, beliau gagal mempertahankan kerusi itu apabila tewas kepada calon PKR.

“Kebanyakan orang Wangsa Maju sudah kenal saya, malah saya terus berkhidmat di kawasan itu walaupun tidak bertanding pada penggal lepas dan turut membantu masyarakat Cina membina SJKC Wangsa Maju.

“Selain itu, saya sering turun padang membantu masyarakat Cina dan India terutamanya dalam isu penjaja dan perumahan,” kata Yeow.

BN Wilayah Persekutuan turut mencalonkan semula bekas Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Seri Raja Nong Chik Zainal Abidin bagi Parlimen Lembah Pantai.

Raja Nong Chik berkata beliau tidak pernah putus asa sejak “gagal” dalam PRU13 dan terus berkhidmat di kawasan Lembah Pantai berbanding dengan wakil rakyat dua penggal kawasan itu.

“Boleh dikatakan dua minggu selepas saya tewas, saya turun ke kawasan Lembah Pantai. Jiwa saya adalah bersama lembah Pantai kerana saya membesar di Lembah Pantai dan berkahwin di Lembah Pantai.

“Tidak ada mana-mana (tempat) lagi. Lembah Pantai adalah tempat saya dan saya  seronok bersama-sama warga Lembah Pantai,” katanya.

Raja Nong Chik berkata beliau telah membuktikan rekod khidmatnya  di Lembah Pantai dan menyerahkan kepada pengundi untuk menentukan kemenangan BN dalam PRU14.

“Saya rasa ramai juga pengundi yang dahulu menyokong PKR kini berkata mereka hargai sikap saya tidak putus asa walaupun pengundi Lembah Pantai telah tolak saya pada PRU13. Saya tidak mahu berlakon bahawa saya lebih rajin dua, tiga minggu ini.

Image result for NONG CHIK
Datuk Seri Raja Nong Chik Zainal Abidin

“Saya dah buktikan komitmen saya terhadap Lembah Pantai tetap sama. Sekarang saya dapati penyokong-penyokong PKR pun dah mula menawarkan diri untuk menyokong BN,” jelasnya.

Pada PRU13, Raja Nong Chik tewas kepada calon PKR Nurul Izzah Anwar dalam pertandingan tiga penjuru dengan majoriti 1,847 undi.— BERNAMA

Tiada ulasan: