Rabu, 4 April 2018

ZAHID KECEWA KES KETUA BAHAGIAN POSITIF DADAH



Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kecewa dengan kes Ketua Bahagian UMNO positif dadah dan menyifatkannya sebagai sesuatu yang malang.

Timbalan Perdana Menteri berkata, beliau akan membincangkan perkara itu bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang juga Presiden UMNO.

Ahmad Zahid juga tidak menafikan perkara itu akan menjejaskan persiapan parti di bahagian berkenaan menjelang pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

“Kita tahu bahawa dari segi perundangan dan kekuasaan kita tidak boleh menghukum mana-mana individu sebelum keputusan mahkamah.

“Tetapi dari segi moral dan politik, ia agak mendukacitakan dan tidak seharusnya berlaku,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Kuala Krai, pada Selasa.

Beliau yang juga Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas timbalan presiden berkata, parti berkenaan akan mengambil tindakan terhadap pemimpin tersebut mengikut peruntukan sedia ada dalam perlembagaan UMNO.

“Kita akan bawa kepada perbincangan dan mesyuarat bersama perdana menteri dan (mengambil) tindakan yang sedia ada dalam perlembagaan UMNO,” katanya yang juga menteri dalam negeri.

Sebelum ini Ketua Polis Daerah Dang Wangi Shaharudin Abdullah berkata, dalam serbuan itu, pemimpin berkenaan bersama sekumpulan rakannya turut ditahan atas kesalahan yang sama.


Tiada ulasan: