Rabu, 4 April 2018

Wakil Rakyat DAP Gesa Kerajaan Tetap Gaji Minimum Ikut Laporan BNM

Ammar Sufian


tetap gaji



Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago menggesa kerajaan mengambil kira Laporan Tahunan Bank Negara Malaysia (BNM) 2017, dengan menggunakan RM2,700 sebagai paras gaji wajar, bukannya gaji minimum sekarang sebanyak RM1,000.

Dalam laporan yang dikeluarkan minggu lalu itu, BNM berkata, berdasarkan satu kajian pada 2016, gaji kehidupan bulanan di Kuala Lumpur sepatutnya dalam lingkungan RM2,700 untuk orang bujang, RM4,500 bagi pasangan tanpa anak dan RM6,500 bagi pasangan 2 anak.

Bank pusat itu menetapkan gaji kehidupan sebagai tahap pendapatan yang diperlukan untuk isi rumah melalui taraf hidup minimum yang boleh diterima. Gabenor BNM, Tan Sri Muhammad Ibrahim berkata, rakyat perlu dibayar gaji bersesuaian supaya mereka dapat hidup dengan selesa.

Santiago berkata, kerajaan dan pembangkang, kesatuan sekerja dan pihak berkepentingan lain perlu menyambut baik cadangan BNM yang menggesa kerajaan menetapkan taraf hidup minimum yang boleh diterima menggunakan gaji kehidupan untuk semua rakyat.

“Jadi, persoalan penting ialah sama ada kesatuan sekerja dan pekerja akan menjadikan cadangan gaji kehidupan BNM sebagai kempen politik utama dan menuntut parti politik menerima idea gaji kehidupan itu?”

Wakil rakyat DAP itu berkata, laporan BNM juga jelas menunjukkan pertumbuhan KDNK 6% yang dikatakan kerajaan tidak memanfaatkan majoriti rakyat di negara ini.

Bank pusat itu dalam laporannya mencadangkan satu set penanda aras melebihi keperluan asas, seperti makanan, kediaman dan pakaian, kepada faktor pembangunan keluarga dan peribadi, termasuk keselamatan kewangan.

“Laporan itu secara tidak langsung mengakui kemiskinan berterusan dan ketidaksamaan pendapatan disebabkan gaji rendah dan mencadangkan semua segmen masyarakat perlu menikmati manfaat daripada kekayaan negara.”

Santiago mendakwa beliau sudah membangkitkan isu gaji kehidupan seawal 2011 apabila beliau bersama aktivis sekerja, sosial dan pemimpin parti politik, mengadakan perbincangan.

“Pada 2011, saya menganjurkan perbincangan meja bulat mengenai cadangan kerajaan untuk memperkenalkan gaji minimum.

“Meja bulat itu mencadangkan ‘gaji kehidupan sesuai’ berbanding gaji minimum adalah istilah lebih baik, merujuk gaji mencukupi untuk hidup dengan bermaruah.

“Peserta mencadangkan RM1,500 hingga RM2,000 sebagai gaji sesuai ketika itu.”

Katanya, pendekatan sedia ada terhadap penetapan gaji perlu diubah kerana 2 kajian berwibawa oleh organisasi bereputasi menggesa gaji lebih tinggi untuk golongan miskin.

Selain Laporan Tahunan BNM, Santiago merujuk laporan Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (Unicef) mengenai kemiskinan bandar dan kanak-kanak kekurangan zat makanan, pada Februari lalu.

Kaji selidik bertajuk “Kanak-kanak pinggiran: Satu kaji selidik mengenai kemiskinan dan penafian hak kanak-kanak bandar di flat kos rendah di Kuala Lumpur” itu mendapati 1 dalam 5 kanak-kanak di ibu kota mengalami pertumbuhan terbantut, manakala 1 dalam 10 berdepan masalah kekurangan berat badan.

Kaji selidik itu turut mendedahkan masalah kurang berat badan, terbantut dan kurus kering yang berleluasa di kalangan kanak-kanak berusia bawah 5 tahun adalah 2 kali ganda lebih banyak berbanding purata Kuala Lumpur, manakala masalah berat badan berlebihan pula hampir 6 kali ganda (23%) daripada purata Kuala Lumpur (4%).


Tiada ulasan: