KENYATAAN Ketua Umno
Bahagian Bandar Tun Razak, Datuk Rizalman Mokhtar bahawa dirinya
disabotaj ketika ditahan polis dalam satu serbuan di sebuah kelab malam
dan menafikan dirinya menggunakan dadah walaupun ujian air kencing yang
dijalankan oleh polis menunjukkan ia adalah positif menandakan ada
golongan desperado yang sanggup melakukan apa sahaja demi politik.
Perkara itu sangat dibimbangkan oleh pemimpin terutama bakal calon
pilihan raya yang terdedah dengan ancaman keselamatan, sabotaj, dan
tindakan lain yang menjatuhkan maruah dan aib mereka.
Dalam situasi mutakhir ini – iaitu
ketika negara di ambang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 ada pihak sanggup
melakukan apa sahaja demi untuk kepentingan diri sendiri termasuk
memerangkap orang lain, cah keting, mensabotaj, menipu, mencederakan
bahkan membunuh. Semua ini dilakukan bagi menafikan pesaing sebagai
calon dan melonjak diri sendiri menjadi calon pilihan raya atau orang
penting dan memastikan diri mendapat tempat tertentu walaupun sanggup
khianat terhadap rakan seperjuangan.
Jika benar kenyataan Datuk Rizalman itu,
maka tidak ada yang selamat dalam politik walaupun terhadap rakan baik
sendiri. Sesiapa sahaja boleh menjadi musuh, kawan menjadi lawan, lawan
menjadi kawan – pesaing akan dikambus hidup-hidup, dipastikan musuh
politik tidak ada tempat dan ruang bernafas di dunia politik ini. Inilah
politik ala ‘Machiavelli’ yang menjadikan matlamat untuk menghalalkan
cara. Ia jauh daripada politik Islam yang PAS sedang perjuangkan
sekarang iaitu politik berteraskan iman, syariat dan akhlak. PAS tidak
tergamak menyerang peribadi musuh politik, tidak rela menerima dan
menyebarkan fitnah, budaya memburukkan dan menjatuhkan lawan politik
yang tidak ada akhlak dalam Islam.
Namun di sebalik pengakuan Datuk
Rizalman, timbul persoalan besar mengenai akhlak dan tingkah laku
pemimpin Umno itu. Beliau mengaku datang ke kelab malam sehingga jam 2.0
pagi untuk berhibur, berkaraoke, dan minum minuman ringan. Apakah ini
amalan seorang yang mengaku beragama Islam dan mahu menjadi pemimpin
contoh kepada masyarakat? Bagaimana pandangan pengundi dari kalangan
umat Islam dan agamawan, para Imam, bilal, ahli jawatankuasa masjid,
ahli kariah masjid di bahagian beliau? Sudah tentu mereka merasa malu
mendapat seorang pemimpin yang suka berhibur di kelab malam dan
berkaraoke.
Seharusnya Datuk Rizalman sedar
tindakannya mengundang fitnah. Walaupun beliau menafikan mengambil
minuman keras dan dadah, tetapi kehadiran beliau di kelab malam tersebut
tetap tidak boleh diterima oleh masyarakat. Ia bukan budaya dan amalan
umat Islam, lebih-lebih lagi pemimpin masyarakat yang mahu bertanding
dan bergelar ahli parlimen. Menjadi Yang Berhormat (YB) bukan gelaran
terhormat atau bebas melakukan apa sahaja melainkan dengan tanggungjawab
dan bebanan, termasuk menjadi teladan terbaik buat masyarakat setempat.
Meletakkan diri di tempat yang salah dan mengundang fitnah adalah
tindakan keji yang tidak boleh diterima.
Bagi masyarakat umumnya dan pengundi
Bandar Tun Razak khususnya, tangkapan terhadap Datuk Rizalman adalah
hikmah untuk menunjukkan siapa beliau sebenarnya. Allah menyingkap tabir
kehidupan peribadi insan yang mahu bergelar pemimpin tetapi terpalit
dengan pelbagai sisi kehidupan yang tidak enak dilihat oleh manusia
seluruhnya. Mujur beliau tertangkap sebelum PRU ke-14, jika selepas PRU
ke-14 malanglah pengundi kawasan beliau terpaksa menanggung malu selama
lima tahun kemudiannya mendapat pemimpin yang kurang akhlak dan menjaga
tingkah laku sendiri.
*DR RIDUAN MOHAMAD NOR, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat
Tiada ulasan:
Catat Ulasan