Sabtu, 21 April 2018

USAH ‘DISENGAT’ MAHATHIR KALI KEDUA- HADI




Islam melarang umatnya mengangkat kembali pemimpin yang telah mendatangkan kemudaratan kepada masyarakat serta kepincangan dalam tadbir urus negara, kata Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Presiden PAS itu berkata demikian sebagai membalas kritikan Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyifatkannya hanya layak menjadi ustaz pondok.

“Krisis yang berlaku hari ini seperti salah laku, politik wang termasuk merosakkan UMNO sendiri dan urus tadbir negara dia buat pasal, macam mana kita nak ulang (kepincangan dan salah laku) balik.

“Kita diajar oleh Nabi agar jangan sengat dua kali pada satu lubang. Jangan kepala yang sama menyengat kita sekali dan terus sekali lagi (di tempat yang sama),” katanya.

Abdul Hadi yang juga penyandang Ahli Parlimen Marang menyatakan perkara itu kepada media selepas menyampaikan ceramah Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) di Markaz PAS Kampung Rawai, Marang Terengganu, Rabu malam.

Yang turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alur Limbat yang juga Pengarah Pilihan Raya PAS Terengganu, Ariffin Deraman.

Abdul Hadi mengulas kenyataan Mahathir yang merendahkan beliau umpama ‘ustaz kampung’ seterusnya kembali mendalami ilmu agama selain tidak mempunyai pengetahuan dalam pentadbiran dan politik.



Tiada ulasan: