Sabtu, 21 April 2018

ISU CALON WANITA: PH GAGAL CAPAI SASARAN




Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin mengakui Pakatan Harapan (PH) gagal mencapai sasaran bagi meletakkan sebanyak 30 peratus calon wanita untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum (PRU) kali ini.

Beliau berkata kegagalan tersebut berpunca daripada kurangnya calon wibawa dalam kalangan wanita untuk diangkat mewakili PH.

“Walaupun kita nak laksanakan agenda 30 peratus calon wanita untuk bertanding namun kita mungkin tidak dapat mencapai sasaran tersebut.

“Kaum wanita masih kurang menceburkan diri dalam politik jadi kita perlukan masa untuk melatih mereka ke tahap yang memuaskan untuk menjadi seorang calon,” ujar beliau dalam satu sidang media di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya pada Jumaat.



Turut hadir ialah Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, isteri pengerusi PH, Tun Dr. Siti Hasmah dan Naib Presiden PKR, Tian Chua. Mengulas lanjut, Zuraida walau bagaimanapun berkata jumlah calon yang akan dipertandingkan pada kali ini tetap meningkat berbanding PRU sebelum ini.

“Setakat ini kita belum ada angka muktamad memandangkan parti komponen lain turut mempunyai calon wanita yang belum diumumkan. “Tetapi yang pasti akan berlaku peningkatan signifikan (calon wanita) berbanding dalam PRU-12 dan PRU-13,” katanya.


Tiada ulasan: