Rabu, 11 April 2018

Terengganu rancang wujud universiti al-Quran

ISMA WEB

Kerajaan negeri tunggu keputusan permohonan daripada KPT


KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri Terengganu merancang mewujudkan Kolej Univesiti al-Quran yang berkonsepkan wakaf dalam tempoh lima tahun akan datang, kata Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman.

Katanya, sebelum ini kerajaan negeri telahpun mewujudkan Kolej al-Quran di Institut al-Quran (IQ) Padang Midin, di sini.

Beliau berkata, ia bertaraf kolej maka kampus berkenaan akan dipindah dan ditempatkan sementara di Pusat Latihan Telekom di Rusila, Marang.

Menurutnya, kerajaan telah membeli bangunan Kolej Islam Sains dan Teknologi (KIST) di Kuala Berang bernilai RM30 juta melalui Tabung Warisan untuk dijadikan kampus tetap Kolej al-Quran.

Beliau berkata kepada pemberita pada majlis anugerah Pingat Emas Yayasan Terengganu (YT) dan hadiah kecemerlangan pelajar lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).

Katanya, beliau akan membuat permohonan kepada Kementerian Pengajian Tinggi untuk mempercepatkan Kolej al-Quran itu untuk dijadikan Kolej Universiti al-Quran.

Sementara itu, Ahmad Razif berkata, anugerah Pingat Emas YT itu merupakan salah satu inisiatif dan langkah kerajaan dalam menghargai dan mengiktiraf usaha pelajar dalam meraih kecemerlangan dalam bidang akademik, korikulum mahupun sahsiah diri.


Pada majlis itu, Muhammad Khairul Azri Mohd Khalid dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) MK Imtiaz YT Besut dan Muhammad Syauqellah Razali dari SMK Agama Sheikh Abdul Malek menerima anugerah Pingat Emas YT yang masing-masing menerima hadiah wang tunai RM5,000 beserta pingat emas, laptop, blazer dan sijil.

Pelajar SMK Kuala Telemong, Ahmad Izzat Sohame @ Suhaimi pula menerima anugerah Khas Yayasan Terengganu yang membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000.

Selain itu, dua pelajar dianugerah pelajar cemerlang SPM 2017 yang memperolehi semua A+, masing-masing menerima RM500, dua pelajar menerima anugerah cemerlang STAM 2017 (peringkat kebangsaan), masing-masing menerima RM600.

Bagi anugerah kecemerlangan SPM 2017 semua A pula, seramai 357 orang yang masing-masing menerima RM500, kecemerlangan STPM seramai 100 orang masing-masing menerima RM600 dan kecemerlangan STAM seramai 26 orang yang masing-masing menerima RM600, manakala sembilan buah sekolah terbaik SPM pula masing-masing diberi RM10,000.- Bernama


Tiada ulasan: