Rabu, 11 April 2018

PAS impi kembali ke Wisma Darul Iman, harapkan sokongan rakyat

ISMA WEB

Rakyat dapat nilai apa dilakukan PAS ketika memerintah 15 tahun lalu

KUALA TERENGGANU – PAS Terengganu mengimpikan untuk kembali ke Wisma Darul Iman dan diberi semula mandat memerintah negeri berkenaan selepas 15 tahun meninggalkan bangunan pentadbiran kerajaan negeri itu.

Walaupun diberi mandat hanya sepenggal oleh rakyat Terengganu, parti yang dipimpin Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu mahu kembali berkhidmat dan mentadbir negeri itu, lebih baik berbanding kerajaan Barisan Nasional (BN).

Ketua Penerangan PAS Terengganu, Mohd Nor Hamzah berkata, PAS tidak melihat sebarang kekurangan yang dilakukan parti itu ketika memerintah negeri selepas memenangi Pilihan Raya Umum Ke-10 (PRU10) pada 1999.

Beliau ketika ditemui Ismaweb.net baru-baru ini berkata, tidak adil jika rakyat menilai dan membandingkan pemerintahan kerajaan parti itu – untuk tempoh empat tahun – dengan UMNO yang sudah beberapa penggal mentadbir.

“Sudah tentu dalam tempoh itu, kita tidak mampu membina pembangunan yang lebih besar. Malah, rakyat dapat merasai sesuatu benda yang tidak mampu dilaksanakan oleh BN sendiri.

“Sebagai contoh, memansuhkan tol Jambatan Sultan Mahmud yang sehingga hari ini ia terus dikekalkan. Kita juga berjaya membina Undang-Undang Tubuh Negeri agar meletakkan batu asas yang kukuh supaya Terengganu tidak mampu dicabar oleh mana-mana kuasa, ideologi dan pemikiran lain,” katanya.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Payong itu berkata, PAS juga menghapuskan premis judi yang sebelum ini wujud, malah tidak boleh dinafikan oleh kerajaan BN sendiri.

“Kita juga menunjukkan komitmen sehingga berjaya membahagikan tanah lot dan geran kepada rakyat sebegitu banyak. Rakyat boleh menilai masa itu kecemerlangan pejabat tanah mengurus tanah ini.

“Kerajaan PAS juga berjaya membina keselesaan dalam kehidupan rumah dengan mengecualikan cukai pintu rumah kediaman. Banyak, dan rakyat boleh menilai sendiri,” katanya.

Mohd Nor berkata, kekalahan PAS pada PRU11 bukanlah kerana rakyat tidak lagi mempercayai pemerintahan parti, sebaliknya PAS terpaksa berdepan dengan cabaran yang dicetuskan oleh BN.

Beliau berkata, sikap diskriminasi kerajaan Persekutuan dengan menamatkan dan menghentikan pembayaran royalti minyak kepada kerajaan negeri, ketika pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad, termasuk desakan serta pengkhianatan UMNO Terengganu.

“Kedua, kerana gerakan saraf yang sangat kuat dengan penyebaran fitnah yang digunakan melalui media massa milik kerajaan seperti TV3, TV1, Utusan, Berita Harian.

“Ketiga, kita juga berdepan serangan padu pihak musuh dan jentera kerajaan dengan menggunakan SPR sendiri. Kita lihat wujud ketidakbersihan BN merampas Terengganu daripada pemerintahan PAS,” katanya.

Tsunami politik melanda Terenganu pada PRU10 (1999), apabila PAS menguasai semua kerusi Parlimen dan 28 DUN, cuma kalah di Seberang Takir, Ajil, Telemung dan Kemasek.

Namun pada PRU11 2004, parti itu kehilangan semua Parlimen dan tinggal 4 DUN tradisinya iaitu Wakaf Mempelam, Batu Buruk, Ru Rendang dan Manir.

Pada Pilihan Raya Umum lalu, BN menguasai tujuh Parlimen dan 24 DUN manakala PAS memenangi satu kerusi Parlimen dan lapan DUN sementara, bekas sekutunya dalam Pakatan Rakyat, PKR yang bertanding di dua Parlimen dan lima DUN tewas semuanya.


Tiada ulasan: