Rabu, 11 April 2018

Pulau Pinang lancar perkhidmatan bas percuma di 12 laluan



Pulau Pinang lancar perkhidmatan bas percuma di 12 laluan



Kerajaan Pulau Pinang hari ini melancarkan perkhidmatan bas percuma ‘Congestion Alleviation Transport’ (CAT) dengan kerjasama Rapid Penang di 12 laluan terpilih di negeri ini.

Dua belas laluan itu ialah George Town, Bayan Baru, Sungai Dua, Tanjung Tokong, Ayer Itam dan Balik Pulau di bahagian pulau serta Seberang Jaya, Nibong Tebal, Bukit Mertajam, Simpang Ampat, Bertam dan Batu Kawan di tanah besar.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalu Lintas dan Tebatan Banjir negeri Chow Kon Yeow berkata pelancaran itu adalah kedua bagi perkhidmatan CAT selepas kali pertama dilancarkan pada 1 April lalu, melibatkan dua laluan – Air Itam dan Paya Terubong.

“Kita juga akan menyediakan perhentian bas di 12 kawasan yang dikenal pasti oleh Rapid Penang sebagai kawasan memerlukan perkhidmatan bas ini yang ada penumpang ramai.

“Langkah itu diharap lebih menggalakkan rakyat menggunakan pengangkutan awam berbanding kenderaan peribadi, sekaligus mengurangkan lagi cabaran trafik sesak di negeri ini.

“Bagi laluan utama, caj perkhidmatan seperti biasa akan dikenakan kepada pengguna, tapi perkhidmatan CAT akan berfungsi sebagai feeder bus yang akan menghubungkan pengguna dari stesen-stesen lebih kecil ke stesen pusat lebih besar (di laluan utama),” ujarnya ketika berucap melancarkan perkhidmatan bas percuma berkenaan, di Komtar hari ini.

Turut hadir Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dan semua exco Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang.

Bercakap pada sidang media sama, Guan Eng menyatakan bahawa pentadbirannya terpaksa melancarkan lebih awal program CAT ini, sebelum sambutan Tahun Baru Cina, kerana mengambil kira asakan politik daripada pihak pembangkang Pulau Pinang yang kian mencabar menerusi media arus perdana.

Tambah beliau, pembangkang Pulau Pinang belakangan ini seakan cuba mensabotaj usaha Kerajaan Negeri dalam mengurangkan cabaran trafik sesak sehingga tahun 2050, melalui hasrat pelaksanaan projek terowong bawah dasar laut serta Pelan Induk Pengangkutan (TMP) di Pulau Pinang.

“Pengumuman yang dibuat oleh YB Chow (Kon Yeow) ini merupakan suatu langkah untuk lawan balik yang diambil oleh Kerajaan Negeri bagi mengekalkan pemerintahan di Pulau Pinang ini.

“Kita lancar (CAT) lebih awal kerana kita tidak boleh tunggu lebih lama apabila serangan secara bertubi-tubi dilancarkan oleh Kerajaan BN (Barisan Nasional) Persekutuan (terhadap hasrat Kerajaan Negeri melaksanakan beberapa projek utama demi mengurangkan cabaran trafik sesak di Pulau Pinang),” ujarnya yang juga Setiausaha Agung Parti Tindakan Demokratik (DAP) Kebangsaan.

Tiada ulasan: