Isnin, 23 April 2018

Proses hantar jenazah Batash ke Gaza bermula

 
Duta besar Palestin ke Malaysia berkata, adik Fadi al-Batash yang dijangka tiba di Malaysia lewat hari ini melalui Jerman, akan membantu proses membawa balik jenazah abangnya.


Jenazah Fadi al-Batash akan dibawa pulang ke Gaza melalui Kaherah.


KUALA LUMPUR: Jenazah pensyarah Palestin, Fadi al-Batash yang ditembak mati dekat kediamannya di Setapak semalam, akan dibawa balik ke Gaza, seperti diminta keluarganya.

Duta Besar Palestin ke Malaysia, Datuk Dr Anwar H Al Agha berkata pihak kedutaan menerima arahan jelas daripada Presiden Palestin, Mahmoud Abbas untuk menguruskan segala-galanya, termasuk kepulangan ahli keluarganya ke Gaza.

“Proses untuk membawa balik jenazah mangsa sudah bermula, tetapi mungkin mengambil masa kerana proses autopsi masih dijalankan.

“Kita juga perlu berbincang dengan kerajaan Mesir kerana kita akan membawa jenazah tersebut dari Kaherah ke Gaza.

“Ia bukan mudah, tetapi kita perlu mematuhi dan menghormati undang-undang dan peraturan setiap negara terlibat,” katanya ketika ditemui di Hospital Selayang hari ini.

Anwar yakin Malaysia akan bekerjasama dalam usaha ini dan adik Batash yang dijangka tiba di sini lewat hari ini melalui Jerman, akan membantu proses membawa balik jenazah abangnya.

Batash, 35, pensyarah kanan Kejuruteraan Elektrik di Universiti Kuala Lumpur (UniKL), ditembak di luar Kondominium Idaman Puteri di Setapak ketika berjalan menuju ke Surau Medan Idaman untuk mengimamkan solat subuh, semalam.

Dua lelaki yang menaiki motosikal dikatakan menunggunya sebelum melepaskan lebih 10 das tembakan ke arah mangsa.

Tiada ulasan: