Oleh Athirah Hanapiah
SHAH ALAM: Ketua Penerangan PPBM, Datuk Kamaruddin Md Noor berkata
beliau terkejut dengan pengumuman Pendaftar Pertubuhan (RoS) bahawa
partinya dibubarkan.
Beliau berkata PPBM tidak dimaklumkan terlebih dahulu mengenai perkara
itu malah RoS bersikap berdiam diri selepas partinya menghantar
dokumen-dokumen yang diminta.
"Saya rasa kalau betul perkara itu, ertinya ia telah membelakangi
segala peruntukan undang-undang dan ini satu hal yang agak mengejutkan
dan tidak sepadan dengan pegawai, latihan dan keprofesionalan (RoS).
"Dia perlu bagi surat tunjuk sebab dahulu, tetapi ini tiba-tiba dan
tidak ada surat tunjuk sebab," katanya ketika dihubungi Antarapos.
PPBM sebelum ini menghantar beberapa dokumen yang diminta RoS termasuk
penyata kewangan dan minit mesyuarat partinya di peringkat Bahagian dan
Cawangan seluruh negara.
Dokumen itu diperlukan untuk melengkapkan siasatan terhadap PPBM,
selepas mendapat aduan daripada lebih 400 ahli akar umbinya bahawa
mesyuarat agung tahunan (AGM) parti itu, 30 Disember lalu, tidak sah.
Kamaruddin kemudiannya berkata PPBM tidak menolak untuk mengambil
tindakan terhadap RoS berikutan percaya jabatan itu melanggar peraturan
yang ditetapkan.
"Tetapi tidak mengapa, dia (RoS) yang nak buat tindakan itu. Kita adalah tindakan kita.
"(Sebelum ini) Kita sudah hantar (dokumen) dan dia tidak jawab apa-apa,
tidak kata 'okay' atau tidak memenuhi keperluan atau apa sahaja, tidak
ada beritahu apa-apa," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan