Isnin, 2 April 2018

PPBM mahu pecat ahli pertikai dokumen

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: PPBM tidak teragak-agak untuk memecat ahli mereka yang mempersoalkan kesahihan dokumen yang diserahkan parti itu kepada Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) Khamis lalu.
 
Bukan itu sahaja, Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin, juga menyelar mereka sebagai 'bodoh' kerana tidak melihat dan memahami dokumen berkenaan tetapi mahu mempertikaikannya.
 
"Dia tak tahu apa dia boleh cakap, dia tak ada mata tak ada telinga dia tak tahu. Kita ambil tindakan berdasarkan undang-undang dan perlembagaan.
 
"Dokumen kita dah serah (kepada RoS) kita dah hantar ikut apa yang dikehendaki, bukan buat-buat.
 
"Memang tak ada mesyuarat perwakilan bahagian, mesyuarat cawangan, mereka tak tengok apa yang ada dalam dokumen yang telah kita jelaskan. Ini makna mereka ini bodoh.
 
"Mereka tak tahu, jangan nak buruk-burukkan nama parti, kita akan ambil tindakan tegas untuk memecat mereka," katanya selepas mengetuai Kempen Rakyat Tolak GST Bersama Presiden PPBM di pusat beli belah Sogo, di sini, hari ini.
 
Beliau mengulas tindakan Ahli PPBM Gombak, Mohd Azimin Muhamad semalam yang mendakwa mereka mengesyaki dokumen membabitkan mesyuarat cawangan dan bahagian yang diserahkan kepada RoS pada Khamis lalu, adalah palsu.
 
Ketika sidang media yang turut dihadiri ahli PPBM Shah Alam, Tanjong Karang dan Sepang, Mohd Azimin berkata, tidak mungkin kepimpinan parti itu boleh menyiapkan dokumen terbabit memandangkan PPBM tidak pernah mengadakan mesyuarat pada peringkat bahagian dan cawangan.
 
Dakwanya, bukan saja di Selangor, malah rakan ahli parti di Pulau Pinang, Kedah serta Kelantan juga menyatakan mereka tidak pernah hadir dalam mana-mana mesyuarat PPBM.
 
 

Tiada ulasan: